Adventure,  Travel,  Uncategorized

Kembara Trans-Siberian Railway | Bermulanya Sebuah Pengembaraan

Trans Siberian Railway

© 2016 Wazari Wazir | Somewhere in Siberia | Russia

Pernah tak kita menonton sebuah filem kegemaran kita baik di panggung wayang ataupun melalui DVD dan oleh kerana kita teruja dengan cerita dalam filem tersebut maka kita pun bercerita dengan kawan kita betapa hebatnya filem tersebut. Lalu kawan kita pun teringin untuk menontonnya, kita pun berilah dia pinjam DVD ataupun temankan dia untuk menonton filem tersebut bersama-sama. TETAPI, ternyata bagi kawan kita, ianya sebuah filem yang membosankan, jalan cerita yang perlahan, kurang action, sampai tersengguk-sengguk dia menahan kantuk menonton filem tersebut. Apa perasaan kita?

Apa yang saya hendak sampaikan di sini ialah kita manusia mempunyai cita-rasa yang berbeza-beza, walaupun kita meminati sesebuah filem itu hingga boleh menontonnya berulang kali, mungkin filem yang sama hanya mengindang kebosanan terhadap kawan kita, mungkin tak sampai separuh kalau boleh dia hendak keluar panggung wayang.

So, apa yang hendak saya sampaikan di sini ialah, apa yang kita minat, belum tentu diminati oleh orang lain. Saya hendak kaitkan dengan Kembara Trans-Siberia saya. Bagi saya ianya adalah antara pengalaman terindah penuh cabaran dalam hidup saya. Sedikitpun saya tidak pernah merasa bosan memandang ke luar jendela keretapi untuk menikmati panorama kehidupan sekitar laluan keretapi.

Bagi sesetengah orang mungkin mereka akan leka dengan smartphone masing-masing, tiada apa yang indah sangat hendak dilihat di luar jendela, tiada mercu tanda UNESCO yang hendak ditonton tetapi sibuk update status di facebook betapa hebatnya pengalaman dia menaiki keretapi di Russia sedangkan pada kebanyakan masa dia leka menatap screen smartphone-nya berbanding menghayati panorama di luar jendela sana ataupun bertegur sapa dengan warga Russia yang satu compartment dengannya.

Tidak banyak gambar yang saya rakam sepanjang perjalana ini, sebabnya saya tidak mahu diganggu oleh kamera saya, saya tidak mahu ada sempadan antara saya dengan kehidupan di luar jendela, cukuplah cermin keretapi yang membataskan sedikit penglihatan saya, selebihnya, saya cukup puas menatap pemandangan kampung-kampung kecil, rumah-rumah kecil yang sebahagiannya dibina daripada batang-batang balak yang sebesar peha orang Russia dan juga tertarik melihat ukiran-ukiran yang terdapat dikebanyakan tingkap-tingkap rumah kayu di Russia.

Bagi sesiapa yang pernah meniaki keretapi dan rasa perjalanan berbelas jam ke Pantai Timur ataupun ke utara tanah-air sebagai sesuatu yang membosankan, maka Trans-Siberia mungkin membosankan anda juga, kita bukan bercakap tentang 10 – 20 jam, tetapi perjalanan berpuluh-puluh jam hingga seminggu dalam keretapi sekiranya kita mengambil perjalanan terus dari Moscow ke Beijing ataupun hinggan ke Vladivostok di Timur Russia.

Saya memilih untuk menaiki keretapi merentas Russia bukanlah untuk mencipta rekod ataupun hanya sekadar ingin mencuba sesuatu yang agak luar biasa. Saya memilih perjalanan Trans-Siberia ini kerana bagi saya, ianya adalah episod pengenalan kepada Russia. ianya hanyalah sebuah permulaan.

Saya katakan ianya episod pengenalan kerana, perjalanan  ini memberi saya ruang untuk melihat secara kasar kehidupan di sebuah negara yang paling besar di dunia ini. Kalaupun kita ada setahun di Russia, amatlah mustahil untuk kita pergi ke segenap pelosok tempat di Russia ini. Jadi perjalanan ini setidak-tidaknya memberi saya peluang melihat sekali lalu. Ya betul saya ada singgah bermalam di Saint Petersburg, Moscow, Kazan dan Irkutsk, tetapi hanya untuk 2 malam dan apa yang 2 malam boleh ceritakan kepada saya tentang bandar-bandar tersebut.

Mat Salleh kata ibarat “barely scratched the surface” Maksudnya, melalui trip Trans-Siberia ini saya hanya mampu mencalarkan sedikit permukaan tanah sahaja, bahagian atas sahaja, belum lagi masuk ke dalamnya dan mengetahui apa isi kandungannya. Hanya sekadar melihat isi luarannya sahaja, belum tahu hati budinya lagi. Ibarat kita hanya melihat seorang manusia dari luaran sahaja belum tahu isi hatinya lagi, apakah sebaik penampilan luarannya ataupun sebaliknya.

Kepada yang ingin melakukan trip Trans-Siberian, apa yang saya boleh katakan, kita kena tahu apa sebab kita mahu melakukan trip ini, ya  betul, duit anda, tak perlu anda hendak beritahu sebab apa anda hendak ke sana tetapi paling tidak pun anda bertanggungjawab untuk jujur pada diri sendiri.

Saya meminati Russia sejak zaman persekolahan lagi, sejak mula tertarik dengan “Kubah Masjid Yang Berwarna Warni” yang menjadi ikon atau simbol Russia sebagaimana Taj Mahal menjadi simbol kebanggan Negara India. Masa di bangku sekolah dahulu saya ingatkan ianya sebuah masjid tetapi bila dah buat research sikit baru tahu bahawa ianya adalah sebuah gereja dan kini dijadikan muzium, iaitu gereja Saint Basil.

Gereja tersebut di bina semasa pemerintahan Ivan The Terible sempena memperingati kejayaan beliau menawan Kazan, waktu itu banyak masjid-masjid di Kazan dibakar dan kalaulah kita tahu tentang sejarah terbinanya Saint Basil, rasanya kita pun mungkin akan rasa segan atau dihimpit perasaan bersalah  bergambar dihadapannya.

Namun itu sejarah lampau, kita di Malaysia pun kini bersahabat dengan Jepun, ramai rakyat Malaysia yang bekerja dan juga belajar di negara matahari terbit tersebut. Kalau kita ingat sejarah lampau, rasanya jangankan hendak memijak kaki ke negara Jepun, mungkin mendengar nama Jepun sahaja sudah cukup untuk menimbulkan kemarahan dihati kita. Malahan kini kereta-kereta buatan negara Jepun cukup banyak di negara kita.

Itu cerita dulu, kini di Moscow telah terbina sebuah masjid yang boleh dikatakan masjid paling besar dan indah di Eropah, terletak di tengah-tengah kota raya Moscow bersebelahan Stadium Olimpik. Kini Agama Islam berkembang pesat di sana, malahan di Russia terdapat sebuah masjid yang dikatakan terletak paling utara di dunia iaitu Masjid Nurd Kamal yang terletak di Norilsk (Utara Russia). Masjid yang di bina oleh Mukhtad Bekmeyev dari Bangsa Tartastan ini merupakan satu-satunya masjid yang terletak di kawasan Arctic, ianya di beri nama Nurd Kamal sempena memperingati nama ayahnya, Nuritdin dan ibunya Gaynikamal.

Point artikel ini ialah, Trans-Siberian Journey  is not the end, but the beginning. Bagi sesetengah kaki kembara, rasanya mungkin cukuplah dah dapat Trekking Everest Base, dah sampai Machu Picchu di Peru, dah explore Patagonia, Grand Canyon, dah sampai di Bali, dah melihat singa di safari di Tanzania, dah naik bot menyusuri sungai di Amazon, dah habis pusing semua negara di Europe, dah sampai Papua New Guinea, dah sampai Iceland ataupun dah sampai di kepulauan Bora-Bora.

Minat dan keinginan masing-masing, tiada salahnya. Saya insyaAllah akan terus mengadakan trip ke Russia, teringin untuk merasa betapa sejuknya musim dingin di Oymyakon, sebuah penempatan yang dihuni oleh manusia yang memiliki suhu paling sejuk di dunia sekitar – 40 hingga pernah  mencecah sehingga – 71. Ingin melihat dan merasa bagaimana penduduk di sana meneruskan kehidupan harian mereka dalam suhu ektrim sebegitu. Di Kutub Utara Dan Selatan memang lagi sejuk tetapi di sana, lebih ramai saintis dari rakyat biasa.

Selain dari tempat-tempat tersebut, saya juga berhajat untuk menziarahi saudara seagama di Ufa, Chechnya and Dagestan, melihat kehidupan mereka serta belajar apa yang boleh dipelajari dari sejarah hidup mereka. Pendek kata banyak lagilah tempat di Russia ni saya hendak pergi, biarlah orang kumpul rekod berpuluh-puluh negara dilawati di Europe, tidak mengapa, saya bukan nak cipta rekod. InsyaAllah ada masa saya akan ke Russia lagi, kali ni mungkin nak habiskan lebih banyak masa di Siberia. Keluasan Siberia sahaja hampir menyamai keluasan negara Canada, bayangkan betapa luasnya Siberia.

Kepada yang masih lagi nak tanya kenapa tak pergi negara itu, negara ini, kan saya dah beritahu tadi, minat masing-masing, keinginan masing-masing, tak perlu samakan minat kita dengan orang lain. Hanya kerana sesebuah destinasi itu dikunjungi ramai orang, itu sama sekali tidak bermakna ianya sesuai dengan jiwa kita. Tidak bermakna ianya akan memberi kebahagian kepada kita. Apa yang kita cari dari perjalanan kita, hanya kita sahaja yang mempunyai jawapannya. Kepada yang kaki shopping atau “party animal” Siberia is may not be for you.

Semasa tiba di Irkutsk, setelah menghabiskan masa selama 3 hari dalam keretapi, rasa seperti tidak mahu turun, 3 hari dirasakan sangat singkat, kalau boleh ingin terus ke Vladivostok. Itu perasaan saya, mungkin bagi sesetengah orang, lima jam dalam keretapi sudah mahu turun. Secara peribadi, menghabiskan masa berhari-hari di dalam keretapi merentasi Russia, tidak pernah sesaat-pun membosankan…

*Artikel Berkaitan : Pengalaman Merentasi Siberia

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.