Uncategorized

Kembara Solo Sebagai “A Rite of Passage”

© 2014 Wazari Wazir | Alexander Pushkin House Museum | Moscow | Russia

“A Rite of Passage” Apa menatang “Rite of Passage” ni, tak pernah dengar pun. Pernahkah anda mendengar nama Charles-Arnold Kurr Van Gennep? Seorang Ethnographer Perancis yang lahir di Ludwigsburg German? Lagi tak pernah dengar kan? Tidak mengapa, tidak penting sangat pun, nak travel satu dunia tak wajib pun nak kenal siapa Van Gennep ni tetapi untuk menjadi seorang Backpackers andaWAJIB ke KRABI dulu. Lawakkan, tak lawak? Yer, Lawak hambar. Pernah dengar tak satu ketika dahulu kecoh di media sosial di kalangan kaki travel bila ada kaki backpacker mengatakan “Tak backpackers la kalau tak pergi Krabi Bro!” Entahlah, saya pun belum pernah sampai ke Krabi, mungkin belum layak lagi digelar “Backpackers.”

Van Gennep inilah yang mempopularkan A Rite of Passage ni melalui karyanya yang bertajuk Les rites de passage (The Rites of Passage) (1909). Apa benda rite of passage ni? Rite ni kira macam ritual la dan passage ni kira macam laluan atau satu peralihan.

I’ve lived to bury my desires, And see my dreams corrode with rust; Now all that’s left are fruitless fires That burn my empty heart to dust.

– Alexander Pushkin –

Kalau hendak dihuraikan tentang A Rite of Passage ni, mungkin jadi sebuah buku, terlau panjang, buku tulisan Avn Gennep itu sahaja hampir 200 muka surat. Anyway, dengan kata mudah ialah “A Rite of Passage” ni adalah satu proses, acara, ritual, majlis yang perlu dilalui oleh seseorang untuk menjadi seseorang. Pelik tak bunyinya? “Seseorang Perlu Melalui A Rite of Passage untuk Menjadi “Seseorang.” Selama ni berorang-orang ke?

A Rite of Passage ni, kira macam satu proses, acara, majlis, upacara, mungkin juga adat, yang boleh dikaitkan dengan apa sahaja dan dengan pelbagai nama yang mebawa maksud yang hampir sama. Proses atau sesuatu perkara yang perlu atau mesti dilakukan oleh seseorang sama ada secara sukarela, paksarela, kena paksa ataupun suka-suka. Tengok keadaan.

Contoh mudah seorang anak lelaki yang beragama Islam “Wajib” dikhitankan walaupun khitan itu hanya sunat, kira dah macam acara wajib jugaklah, biasa orang akan cakap, atau ibu bapa akan cakap kepada anak lelakinya, “adik kalau nak jadi lelaki kena “Sunat.” Adat berkhitan itu pun boleh dikatakan sebagai ritual atau “A Rite of Passage” di mana proses peralihan seorang anak kecil untuk menjadi dewasa.

Majlis Perkahwinan juga boleh dikategorikan sebagai “A Rite of Passage” di mana orang bujang perlu melalui sebuah majlis perkahwinan yang dipenuhi adat atau acara tertentu, untuk bergelar seorang suami atau isteri. Bagi Umat Islam, Ibadah Umrah dan Haji juga boleh dikategorikan sebagai “A Rite of Passage” kerana terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi.

Antara ciri yang perlu ada dalam “A Rite of Passage” ini ialah ianya mestilah mencabar keyakinan diri dan juga mencabar keberanian seseorang, selain mencabar dari segi mental dan fizikal. Kepada yang sudah berkahwin pasti masih ingat lagi, betapa gerunnya kita tatkala berhadalan dengan Tok Kadi, betapa takutnya kita menahan malu (bagi yang pemalu) untuk bersanding 2,3 jam di atas pelamin sambil disaksikan tetamu yang hadir. Semua ini perlu ditempuhi untuk bergelar seorang suami atau isteri. Semua ujian ini perlu dilalui untuk menjadi seorang suami atau isteri.

Mungkin kita pernah dengar atau lihat apabila ahli silat tertentu ingin menamatkan persilatan tersebut dia perlulah melalui upacara “Mandi Minyak Panas” malah dalam Ilmu Silat tertentu, upacara ini adalah upacara wajib sebelum bergelar ahli persilatan.

Begitu juga di zaman dahulu di mana ahli silat perlu bertapa seorang diri, di dalam gua, di puncak gunung, di tanah perkuburan, dan hutan tebal, untuk apa? Untuk membina keyakinan diri.

Tentu kita masih ingat Filem Pendekar Bujang Lapok Kan? Di mana mereka perlu bertapa seorang diri di kawasan perkuburan, di rumah tinggal dan juga di dalam perigi buta. Kesemua ujian ini perlu dilakukan untuk melangkah ke tahap yang seterusnya.

© 2014 Wazari Wazir | Kazansky Railway Station | Moscow | Russia

Jadi apa kena mengena dengan Kembara Solo ni? Kalau seseorang itu tidak pernah mengembara secara solo, kenapa? Tak layak digelar Traveler ke? Tak layak di gelar Backpacker ke? Kau siapa nak tentukan ini semua, suka hati akulah nak travel macam mana pun, bukannya aku guna duit kau pun.

Relaks, bawak bertenang, bukan macam tu kawan. Saya bukan nak cari gaduh, bukan juga nak cari musuh, nak cari kawan lagi ada. Kalau ada masa sila baca lagi, kalau rasa, macam bosan jer topik ni, anda boleh berhenti di sini, tiada paksaan. Saya hargai masa anda. Yang masih setia, teruskan.

Untuk pengetahuan kawan-kawan yang budiman, saya bukan selalu travel bersendirian, tetapi seringkali berteman. Cuma bila dah agak kerap keluar kembara bersama kawan-kawan ini, teringin juga mencabar diri untuk mengembara secara solo, kira “A Rite of Passage” untuk diri sendiri, untuk melihat kemampuan diri sendiri, apakah saya mampu melakukannya atau tidak. Apakah saya yakin bersendirian di negara orang tanpa ada teman di sini. Apakah saya boleh “survive” di negara orang.

Sebelum keluar mengembara secara solo selama hampir sebulan merentasi Russia, Mongolia dan juga Chine menggunakan laluan Trans-Siberian Railway, saya dah banyak membaca tentang Kembara Solo ataupun Travel Solo ni, ada pros and cons-nya. Jadi saya lontarkan cabaran kepada diri saya sendiri untuk mengembara secara solo ke sebuah negeri yang saya belum pernah sampai iaitu Russia, Mongolia dan China.

Lagipun saya rasa, sudah sampai masanya untuk saya cuba mengembara secara solo tanpa ditemani rakan-rakan, pada mulanya memang agak menakutkan, hari-hari pertama di negara orang memang terasa janggal, tanpa teman di sisi untuk diajak berbual.

© 2014 Wazari Wazir | Ismailovsky Market | Moscow | Russia

Bagi saya, kepada sesiapa sahaja yang minat mengembara, paling tidak pun, cubalah walau sekali seumur hidup, untuk keluar mengembara secara solo. Mencabar diri sendiri, mencabar keyakinan diri. Tak perlu jauh sangat pun, mungkin boleh ke Krabi, Jakarta, Bali, Bandung atau yang dari Semenanjung mungkin boleh ke Sabah atau Sarawak, begitulah sebaliknya. Sebab kalau kita tak cuba, kita tak tahu kan.

“A Rite of Passage” ini juga bukanlah sesuatu yang mesti atau wajib dilakukan bersendirin, boleh juga dilakukan dengan kawan-kawan, cuma untuk menjadikannya “A Rite of Passage” ialah ianya mestilah sesuatu yang sangat mencabar dari kebiasaan yang sering kita lakukan. “A Rite of Passage” ialah sesuatu pengalaman yang akan kita kenang sampai bila-bila.Pengalaman berkhitan, pengalaman berkahwin, pengalaman mandi minyak dan sebagainya.

Contoh lagi, macam ni, kita mungkin dah biasa memandu kereta ulang-alik ke tempat kerja, ataupun pulang ke kampung halaman, baik di utara semenanjung, selatan tanahair ataupun ke Pantai Timur, tetapi pernahkah anda memandu kereta keliling Semenajung Malaysia, ke seluruh negeri yang ada di Semenanjung ini selama seminggu atau sebulan?

Kepada yang dari Sabah atau Sarawak, pernahkah anda memandu kereta atau menaiki motosikal dari Kuching hingga ke Kota Kinabalu atau sebaliknya. Mungkin semasa bujang anda ada keinginan untuk melakukannya, tetapi hingga bercucu pun masih tak buat-buat lagi. Jadi apa tunggu lagi.

Ataupun dengan tersiapnya laluan Pan Borneo nanti, mungkin kita boleh memandu kereta dari Telok Melano di Sarawak hingga ke Tawau melaui laluan Ranau, Lahad Datu dan juga Semporna, ataupun terus pusing Borneo masuk Kalimantan hingga ke Kuching semula dengan jalan darat. Kalau bukan bersendirian pun, mungkin boleh lakukannya bersama kawan-kawan yang mempunyai impian serta minat yang sama.

Mungkin ada yang kata ini idea gila, apalah gila sangat kalau nak dibandingkan dengan orang yang berbasikal mengelilingi dunia. “A Rite of Passage” adalah sesuatu yang happening, yang akan kita kenang seumur hidup kita, kesusahan atau kesukaran yang kita tempuhi sepanjang perjalanan akan menjadikan kita lebih matang, lebih berani, dalam menghadapi kehidupan di dunia ini.

Point tulisan saya kali ini ialah, cubalah mencabar diri sendiri, sekali sekala, lakukanlah sesuatu yang luar biasa untuk diri sendiri, carilah atau ciptalah “A Rite of Passage” untuk diri sendiri. Bagi yang sering mengikuti larian 5KM, 10KM, mungkin “A Rite of Passage” ialah untuk masuk Full marathon sejauh lebih kurang 42KM, bagi yang dah biasa dengan Full Marathon mungkin ingin mencuba larian Ultra-Marathon yang mungkin boleh memcecah jarak melebihi 100KM atau mungkin ingin mencuba Skyrunning Competition, berlari di kawasan pergunungan seperti Everest Marathon.

Pendek kata, cuba lakukan sesuatu yang diluar kebiasaan kita. Something Big, Kalau dah selalu sangat travel berkumpulan, why not, cuba backpacking secara solo, paling tidak pun sekali?

© 2018 Wazari Wazir | With The Crowds at Hornbill Festival | Nagaland | India
© 2018 Wazari Wazir | Hornbill Festival | Pesta Burung Kenyalang | Nagaland

Saya bukan nak mencabar sesiapa, tidak menguntungkan diri saya pun, cuma saya ingin kawan-kawan semua untuk mencabar diri sendiri. Dari situ baru kita kenal diri kita jenis macam mana, dari situ kita boleh bina keyakinan diri, keberanian diri.

Sama juga seperti trip saya yang terbaru ke NAGALAND North India ni. Saya bukan travel solo tetapi berteman, sebab saya inginkan juga “bergambar” di Nagaland, kalau pergi seorang, susah saya nak dapat gambar sendiri (personel) yang agak ok. tetpi trip ke NAGALAND juga merupakan “A Rite of Passage” juga.

Tidak ramai rakyat Malaysia yang pernah ke Nagaland untuk menyaksikan Hornbill Festival, berbanding bercuti ke Kashmir, Rajasthan dan ke Agra untuk melihat Taj Mahal. Tambahan pula NAGALAND ini satu ketika dahulu terkenal dengan “Head Hunter” atau kawasan pemenggal kepala, hatta hingga ke hari ini, masih ada lagi kaum Konyak yang masih hidup, yang mana mereka pernah memenggal kepala manusia berpuluh tahun yang lalu (sebelum memenggal kepala diharamkam), yang kini usia mereka rata-rata antara 80an dan 90an.

NAGALAND ini boleh dikatakan sebagai Unknown Territory sebab tak ramai pelancong ke sini, hinggakan rakyat India yang bukan warga NAGALAND pun mesti mendapatkan permit khas untuk ke NAGALAND.

Begitu juga dengan trip Solo Trans-Siberian saya. Laluan Kereta Api Trans-Siberia adalah sejauh 9288 KM dari Moscow ke Vladivostok adalah laluan kereta api terpanjang di dunia, dan oleh sebab itu saya mencabar diri saya untuk melakukannya bersendirian, cuma saya tidak ke Vladivostok, sebaliknya saya menamatkan laluan saya hingga ke Beijing melalui Mongolia.

Selain itu, saya juga pernah melakukan trip jalan darat bersama rakan saya, Overland di Pulau Jawa atau boleh saya katakan sebagai Trans-Java dengan menaiki kereta api, yang mana trip saya bermula di Jakarta, kemudian ke Bandung, Yogyakarta, Surabaya dan ke Banyuwangi. Setelah itu saya menaiki feri dari Banyuwangi ke Gilimanuk di Pulau Bali. Bermalam di Denpasar dan kemudian berpatah balik ke Gilimanuk dan naik feri semula ke Banyuwangi dan kemudian pulang ke Malaysia melalui Surabaya.

© 2018 Wazari Wazir | Darjeeling Railway Station | West Bengal
© 2018 Wazari Wazir | Kisama Village | Kohima | Nagaland | India
© 2018 Wazari Wazir | Kisama Heritage Village | Nagaland | North East India

Pernahkah anda mengimpikan untuk melakukan sesuatu perkara yang gila-gila, yang mencabar fizikal dan minda tetapi masih dalam ruang lingkup boleh dilakukan oleh manusia biasa? Mungkin itulah “Rite of Passage” anda.

Cuma dalam konteks artikel saya ini,”A Rite of Passage” yang saya ingin sampaikan ialah, cabaran terhadap diri sendiri. Bukan untuk menunjuk hebat, bukan untuk berbangga diri, bukan untuk riak, tetapi lebih kepada membina keyakinan dan keberanian diri. Mungkin kita berani bila berada dalam kumpulan yang besar, rasa hebat dalam kumpulan yang besar, tetapi apakah kita berani bila bersendirian di rantau orang, beribu-ribu kilometer jauhnya dari keluarga tercinta. Itu semua hanya akan terjawab sekiranya kita sanggup mencabar diri sendiri. Itu semua hanya akan terjawab sekiranya kita sanggup melakukan “A Rite of Passage.”

Ada masa dan ketikanya terutama kepada kaki travel, kita terpaksa melakukan “A Rite OF Passage.” Ada masa dan ketikanya kita terpaksa kembara secara solo, sebab apa? Banyak sebab, antara lain ialah, sukarnya mencari kawan yang ingin mengembara ke tempat yang kita idamkan. Tidak ada kawan yang sesuai yang ingin ke tempat yang kita idamkan, kebanyakan kawan-kawan kita mungkin suka kembara ke banda-bandar besar untuk shopping-shopping, kita pula suka ke kawasan pedalaman yang jauh terpencil, yang jauh dari arus kemodenan, yang jauh dari liputan capaian internet. Ada kawan yang berminat tetapi masa mereka pula tak sesuai dengan kita.

Perlukah kita menunggu lagi? Cuba fahamkan balik kata-kata ataupun Quote Alexander Pushkin yang saya kongsikan di atas tadi. “Sebuah Impian yang Berkarat” sebab lama sangat menanam impian, tetapi tak pernah jadi-jadi, kawan tiada, masa tak sesuai, kawan tak minat. Tetapi impian itu dapat kita capai kalau kita sanggup kembara secara solo. Sebab kita sendiri yang tentukan masa kita, bila kita nak pergi, berapa lama nak pergi, nak tidur mana, nak makan di mana. Selagi kita bergantung dengan kawan-kawan, maka selagi itulah pergerakan kita akan tersekat dan terikat. “A Rite of Passage is Waiting for You.”

Artikel Berkaitan : THE VOCKET : Kembara Solo Trans_Siberian Railway

*Kepada yang berminat hendak membaca secebis pengalaman saya semasa di Rusia, boleh dapatkan buku Travelog 7  Benua. Klik pada banner di bawah ini untuk maklumat lanjut…

Travelog 7 Benua

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.