Adventure,  Life,  Photojournalism,  Travel,  Uncategorized

Kembara Rentas Russia Jalan Darat | Trans-Siberian-Railroad

Trans Siberian Railway

Trans Siberian Railway

Trans Siberian Railway

Trans Siberian Railway

Trans Siberian Railway

Trans Siberian Railway

Trans Siberian Railway

Trans Siberian Railway

©  2016 Wazari Wazir | Trans-Siberian Railroad | National Geographic Magazine | June 1998

Sekali tengok, terus saya jatuh cinta dengan cover majalah National Geographic June 1998 tu, wajah yang penuh misteri bagi saya. Sesuai dengan Russia yang penuh misteri. Dah lama saya mencari majalah ini, sebelum saya ke trip saya ke Trans-Siberia lagi. Sebelum ke sana, saya banyak buat homework atau sedikit research, saja nak cari input atau maklumat yang boleh membantu urusan saya di Russia nanti dan dalam hati terfikir jugak, takkanlah NatGeo tak perna buat liputan atau coverage tentang laluan keretapi yang dianggap antara terhebat di dunia ini.

Selain membaca blog-blog pengembara yang pernah ke Russia, saya juga mencari majalah-majalah travel yang ada cerita tentang Russia ataupun tentang laluan Trans-Siberia. Di internet ada juga orang menjual edisi ini tapi masa tu belum rasa nak beli lagi, jadi masa singgah di kedai buku terpakai di Kuala Lumpur, terjumpa majalah ini, apa lagi, tak fikir panjang, terus sambar satu. Ada banyak lagi gambar-gambar dalam majalah NatGeo ni, saya kongsikan sedikit sahaja.

Ada banyak cara untuk kita melawat sesebuah negara, sama ada dengan berjalan kaki, menaiki unta, menunggang kuda, kereta lembu, basikal, motosikal, kereta, bas, kapal terbang, kereta api, kapal laut, feri dan sebagainya. bagi saya cara terbaik untuk mengembara ke satu-satu negara tak lain dan tidak bukan ialah dengan menggunakan jalan darat, di mana kita boleh lihat lebih banyak berbanding dengan menggunakan kapal terbang.

Russia ialah sebuah negara paling besar di dunia, kalau kita ambil penerbangan dari Moscow ke Vladivostok yang terletak di hujung Russia, bersempadan dengan Korea Utara, ia akan mengambil masa lebih 24 jam dengan satu persinggahan, kalau ada penerbangan secara terus pun ia akan mengambil masa berbelas jam untuk sampai, bayangkan betapa luasnya negara tersebut. Itu dengan menaiki penerbangan, sekiranya kita memilih untuk menaiki keretapi dari Moscow ke Vladivostok pula, ia akan mengambil masa selama 6 hari untuk sampai, ada juga yang mengambil masa hingga 7 hari, bergantung pada masa serta jenis keretapi yang digunkanan. Kalau kita  naik kereta api KTM dari KL Sentral ke Arau Perlis, hanya ambil masa lebih kurang 10 jam, kalau guna ETS yang baharu, ia akan ambil masa kurang 6 jam untuk sampai.

Keadaan yang dirakam di dalam keretapi tersebut pada tahun 1998 tak banyak beza dengan sekarang. Cuma tidak banyak stesen keretapi kita boleh jumpa peniaga babushka yang bawa kereta sorong kecil tu menjual ikan ataupun makanan lain, hanya di sesetengah stesen sahaja. Dan untuk pengetahuan semua, di kebanyakan stesen tertentu sekarang ini ada booth atau kiosk kecil yang menjual pelbagai jenis makanan untuk keperluan sang pengembara.

Menaiki keretapi di Russia ini tak sama seperti kita menaiki keretapi laju seperti di Jepun ataupun di beberapa negara lain di Eropah seperti menaiki Eurostar, bagi sesetengah negara keretapi lebih kepada pengangkutan untuk membawa kita dari satu destinasi ke destinasi seterusnya yang mungkin hanya ambil masa beberapa jam sahaja.

Berbeza dengan menaiki kereta api di Russia yang kebiasaanya memakan masa berpuluh-puluh jam hingga seminggu di dalam perut kereta api. Jadi kebanyakan penumpang akan membawa stok makanan masing-masing yang agak banyak demi untuk menampung keperluan makanan dalam kereta api berhari-hari.

Mereka buat macam rumah sendiri pun ada. macam-macam jenis makanan ada di bawa, termasuk telur mentah yang belum direbus, hot dog, roti dan mentega, buah-buahan, sekiranya kita lalu di setiap compartment, kelihatan  situasi di bahagian meja kecil di sudut dapur sesebuah rumah, penuh makanan atas meja. Rasanya tak salah kalau saya katakan ianya ibarat sebuah rumah panjang yang sedang bergerak. Cukup meriah suasananya.

Ada orang kata perjalanan ke India tidak akan lengkap sekiranya kita tidak pernah merasai pengalaman menaiki kereta api di sana. Lihat sahaja filem filem Hindustan, boleh dikatakan cukup banyak  filem mereka ada kereta api, kalaupun pelakon mereka tidak menaiki kereta api, kelibat kereta api pasti kelihatan.

Sama juga seperti Russia, rasanya tak lengkap ke Russia sekiranya kita tidak pernah cuba menaiki Metro di Moscow atau di Saint Petersburg yang mana setiap stesen Metro ibarat sebuah muzium mini. Seperti India, tidak akan lengkap trip kita di Russia sekiranya kita tidak pernah merasa menaiki perjalanan keretapi di Russia melebihi 24 jam perjalanan. Ianya adalah pengalaman yang cukup menarik untuk kita alami sendiri.

Bagi saya, antara tarikan utama di Russia selain puluhan ataupun  ratusan muziumnya, selain Red Square dan gereja yang mempunyai kubah berwarna warni atau Saint Basil, pengalaman menaiki keretapi di Russia terutamanya merentasi Siberia adalah sesuatu yang harus dicuba. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa hebatnya Siberia, kepada yang belum tahu, keluasan Siberia hampir sama, mungkin kecil atau besar sedikit dari negara Canada. Sebab itu laluan keretapi ini  digelar Trans-Siberia, merentasi Siberia.

Cukuplah tulis panjang ni sahaja, point artikel ini bukan tentang Russia sangat tetapi tentang perjalanan darat. Tidak dinafikan lagi perjalan darat ke sesebuah destinasi adalah yang terbaik untuk kita mengenali sesebuah negara, mengenali budaya serta adat setempat masyarakat dan juga perubahan bentuk muka bumi termasuk juga perubahan wajah penduduk setempat.

Kita yang datang dari Kuala Lumpur ke Kelantan atau ke Kedah pun dah boleh nampak perubahan rupa wajah seseorang, itu negara yang sekecil Malaysia, bayangkan pula perubahan yang boleh kita nampak di negara yang besar seperti Russia. Daripada wajah Eropa di Moscow, wajah Turki  di Kazan iaitu bangsa Tartastan dan kemudian wajah mirip Mongolia di selatan Russia, ada juga wajah mereka yang bersempadan dengan negara “Stans” kelihatan seperti warga Uzbekistan.

Sewaktu di Russia, ada ketikanya saya rasa seperti dalam filem, bukan seperti menonton sebuah filem tetapi rasa seperti saya adalah sebahagian watak kecil dalam filem tersebut, marilah ke Russia, sorry ter”poyo” sikit…

*Kepada yang berminat hendak dengar secebis pengalaman saya semasa di Russia, boleh dapatkan buku Travelog 7  Benua. Klik pada banner di bawah ini untuk maklumat lanjut…

Travelog 7 Benua

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.