Adventure,  Art,  Life,  Travel

Kami Bukan Kaya | Kami Backpackers Berpoket Nipis

Travel Photography | Kashmir

Travel Photography | Kashmir

© 2012 Azman Jumat | Melayan Penjual Cenderahati Di Tasik Dal | Kashmir | India

Sedang saya bersama rakan saya Azman Jumat, meronda-ronda sekitar Dal Lake dengan shikara, tiba-tiba datang sebuah perahu kecil mendekati kami, dari jauh dah nampak, meluru laju ke arah kami. Dalam hati risau jugak, takut kena “Paw” ke apa, takut pengemudi shikara kami dah pakat panggil orang kampung untuk jadikan kami habuan atau tebusan, maklumlah pengalaman baru di sini, ianya bukan sesuatu yang kami jangkakan.

Mungkin juga tak cukup research sebelum saya ke Kashmir. kami ni bukannya bawa banyak wang ringgit, datang pun dengan AirAsia bukannya Malaysia Airlines

“I came from the village, I’m village people” sambil menghulurkan barang dagangannya, “please buy this Saffron,” sambil menunjukkan sesuatu yang berwarna kemerahan, yang bagi aku nampak macam lebih kurang daun tembakau yang dihiris halus sahaja. Aku tak tahu sangat apa ke bendanya saffron tu, balik hotel ada Wifi baru aku google balik, rupanya ia sejenis herba atau rempah, banyak kegunannya, antara lain untuk menambah sedap makanan.

Rimas rasanya seolah-olah dipaksa-paksa, rimas sebab tujuan kami meronda sekitar Tasik Dal ni ialah untuk mengambil gambar dan bukannya nak shopping, kalau tujuan kami nak shopping, baik pergi London, Paris, Dubai ataupun kota-kota moden di Europe sana yang terkenal dengan tempat-tempat membeli belah terkemuka, tak payah pergi jauh pun tak mengapa, di Kuala Lumpur sahaja sudah cukup banyak pusat membeli belah bertaraf antarabangsa.

Tetapi dalam pada rimas tu, aku teruja jugak dengan sikap peniaga tersebut yang begitu konsisten, walaupun ditolak dengan lembut berkali-kali,  masih lagi tak jemu-jemu mempromosikan saffron tersebut, bukan sahaja saffron malahan ada juga dijual benih-benih pokok bunga yang aku rasa tak boleh hidup di Malaysia yang memiliki suhu panas sepanjang tahun. Kalau pokok Bunga Tulip boleh hidup di halaman rumah saya di Kuala Lumpur, dah lama saya beli tapi memang takde la kan?

Oleh kerana tak tahan dengan paksaan dan pujuk rayu village people tersebut, saya pun belilah jugak sedikit, dengan harapan dia akan berlalu pergi meninggalkan shikara kami. Tak lama lepas tu datang pula “Village People” yang lain menghampiri shikara kami dan jual cenderahati yang lain pulak, pendek kata macam-macam baranglah ada, butang baju, beg kecik, baju, tudung, pashmina. Rasanya entah berapa buah perahu yang menghampiri kami hari tu, saya sendiri pun tak ingat.

Menurut pengemudi shikara kami, Ashraf namanya, memang itulah mata pencarian orang yang tinggal di sekitar Tasik Dal tersebut, mereka berjualan di sekitar tasik terutamanya kepada pelancong-pelancong yang datang. Memandangkan sewaktu kami kembara ke Kashmir ini pada musim sejuk, maka jumlah pelancong kurang, yang paling ramai semasa musim panas. Dan pada waktu kami meronda-ronda di Tasik Dal ni, tiada Shikara lain yang kelihatan membawa pelancong di sini, hanya perahu orang kampung yang mudik ke hulu  hilir dan sudah tentu shikara kami jadi tumpuan.

Walaupun sebolehnya saya cuba juga untuk membantu ekonomi setempat tetapi mana mungkin untuk saya membeli barang-barang yang dijual oleh setiap peniaga yang menghampiri shikara kami. Bajet kami bukannya banyak dan kebiasaanya, kembara backpackers ni bukannya banyak duit sangat, membeli souvenir adalah acara terakhir sekiranya ada duit lebih, actually tiada dalam agenda pun untuk membeli souvenir kecuali sedikit untuk kenang-kenangan. Kami sempat bersarapan pagi di Tasik Dal ni, restoren terapung dalam perahu.

Bagi penduduk setempat pula mereka mungkin melihat setiap pelancong, baik pelancong yang ikuti pakej pelancongan ataupun mereka yang travel sendiri seperti backpackers sebagai mesin ATM bergerak, ataupun Wang bergerak, mereka mungkin menyangka sesiapa sahaja yang datang ke tempat mereka,  orang luar maksud saya, ialah mereka yang ada banyak duit untuk berbelanja, apa sahaja yang dijual mesti dibeli ataupun mampu di beli oleh kami.

Itu mungkin pandangan mereka, tidak boleh nak salahkan mereka pun, mungkin itu sahaja satu-satunya sumber pencarian rezeki mereka, mereka tak boleh mengalah, mesti cuba sedaya mungkin untuk menjual, paling tidak pun satu dua barang untuk kelangsungan hidup mereka.

Ada juga dikalangan rakan-rakan kita yang bila  melihat kita ke sana sini, menyangka golongan yang kerap travel ni, golongan backpackers ni banyak duit, poket tebal, hakikatnya tidak sebegitu. Kami mengambil masa yang agak lama untuk mengumpul wang, kami korbankan banyak keinginan-keinginan kami untuk menyimpan sebanyak mana duit yang ada dan kami cuba merancang jadual perjalanan kami dengan teliti dan mengira dengan teliti bajet kami. Kawan-kawan ada yang bertukar smartphone setiap tahun, kami backpackers pakai smartphone sampai rosak baru tukar, saya masih lagi guna iPhone 4, walaupun dengar cerita iPhone 6s sudah keluar.

Kami bersengkang mata untuk melihat harga tiket penerbangan yang murah, kami buat research sana sini untuk memilih tempat penginapan yang murah untuk kami bermalam dan kami sedaya upaya cuba untuk gunakan pengangkutan seperti bas, keretapi, tuk-tuk dan ada juga yang menahan (menumpang/hitchhiking) kereta di jalanan untuk ke satu-satu tempat.

Bukan kami kededut dengan duit kami tetapi peruntukan kami cukup terhad, kalau boleh kami ingin panjangkan jarak perjalanan kami dengan sumber wang yang ada dan bukannya mengira-ngira berapa banyak cenderahati yang boleh dibeli untuk dibawa pulang, malahan sebahagian besar dari backpackers memang tidak menyediakan peruntukan khas untuk cenderahati.

Tetapi itu tidak bermakna kami tidak menyumbang apa-apa. Contohnya dengan penulisan kisah kisah kembara di blog ini, setidaknya akan merangsang kawan-kawan yang lain untuk kembara ke Kashmir, mungkin ada sesetengah pembaca merasa teruja dengan kecantikan Kashmir tetapi tidak berani untuk datang sendiri maka mereka pun datang dengan pakej travel, mungkin mereka ni orang yang lebih banyak wang dari kami dan mungkin mereka akan berbelanja lebih dari kami.

Saya backpackers yang tak punya banyak wang ringgit untuk membantu ekonomi penduduk setempat, kecuali untuk perbelanjaan di kedai-kedai kecil, membeli barang keperluan, makan minum, pengusaha hostel,hotel, pengusaha shikara, teksi, tuk-tuk, pengusaha restoran dan sebagainya.

 Kalau tanya saya, ekonomi penduduk Kashmir memang perlu dibantu terutamanya kita yang sama agama dengan mereka. Mereka bukannya mewah sebagaimana penduduk di persekitaran gunung-gunung tinggi di Eropah sana. Pembangunan di Kashmir seakan dipinggirkan.

Bagi saya dengan berkongsi pengalaman indah di Kashmir, di harap ada kawan-kawan yang berhajat untuk ke sini dan sedikit sebanyak mungkin boleh membantu ekonomi mereka.

Kashmir satu ketika dahulu dan sehingga kini pun seringkali menjadi bahan berita di kaca TV, konflik antara India dan Pakistan sering terjadi, sebenarnya konfik mereka tak pernah habis, mungkin Berita di kaca TV pun dan penat nak bercerita tentang mereka kerana banyak lagi isu-isu hangat di dunia ini.

Baru-baru ini Filem lakona Salman Khan iaitu Bajrangi Bhaijaan mendapat sambutan hangat di Malaysia, dan rasanya sedikit sebanyak akan menarik minat orang kita untuk melawat Kashmir, cerita film berlatarbelakangkan pemandangan di Pakistan tetapi lokasi sebenar filem tersebut antara lain ialah di Pahalgam dan Sonamarg di Kashmir.

Diharap sedikit sebanyak perkongsian tentang kisah-kisah travel oleh backpackers baik secara bertulis ataupun secara lisan dari kawan kepada kawan terutamanya ke negara-negara ataupun tempat-tempat yang kurang maju akan merangsang minat kita kembara ke sana dan walaupun kami golongan backpackers tidak memperuntukkan wang untuk membeli barang-barang cenderahati, setidaknya dapat juga membantu serba sedikit dengan kehadiran kawan-kawan kami yang lain.

Kepada kaki kembara pula elok kalau kita selang selikan destinasi kembara kita, ada masanya kita berkunjung ke negara maju seperti di Eropah, ada masanya kita cuba pula ke negara-negara kurang maju seperti ke sesetengah tempat di India atau Nepal.

Tetapi duit masing-masing, terpulang kita, ada jugak pernah saya dengar, kalau dah habis negara di dunia ni India adalah pilihan terakhir dia akan pergi. Well, terpulang, it’s your money after all. Kepada yang bertanya berapa banyak kami habis selama seminggu berkelana di Kashmir, mungkin ada yang tidak percaya.

Last but not least, saya, begitu juga sebahagian dari pengembara backpackers yang lain yang menulis tentang kisah-kisah kembara mereka di laman  sosial media, sebenarnya telah menjadi duta tidak rasmi tanpa gaji negara yang kami pergi, kami telah menjadi agensi pelancongan mereka tanpa bayaran, kami mempromosikan tempat-tempat yang kami pergi tanpa bayaran apa-apa dan kalau ada yang tertarik dengan “promosi” kami, dan semakin ramai pengunjung ke tempat mereka, itu rezeki mereka sepenuhnya.

Mungkin kami backpackers agak kedekut berbelanja, tetapi yang pasti kami tidak pernah kedekut untuk bercerita pengalaman kami di tempat anda. Perkara yang baik bonus untuk anda, perkara kurang baik yang diceritakan ,agar menjadi panduan dan sebolehnya diperbaiki agar rezeki semakin mencurah-curah lagi, insyaAllah…

*Hampir sebulan saya kembara di Russia, sehelai T-Shirt Russia tidak saya beli, bajet habis beli tiket keretapi sahaja…

*** Artikel Berkaitan : Kembara Fotografi Kashmir

 

I'm a Photographer and Travel Blogger...

One Comment

  • aRz MoHa

    Indah dapat melihat tempat orang. Lebih indah dapat membawa balik gambar yang dirakam dan dikongsi pula pada yang belum dapat mengembara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.