Adventure,  Travel

Kembara | Perjalanan Itu Adalah Destinasinya

Travel Photography | Mount Kinabalu | Sabah Borneo

Travel Photography | Mount Kinabalu | Sabah Borneo

© 2015 Wazari Wazir | The Summit of Mount Kinabalu

“Climb The Mountain Not to Plant Your Flag, But to Embrace The Challenge, Enjoy The Air and Behold The View. Climb it so You Can See The World, Not So The World Can See You.”

– David McCullough – 

Pendakian saya ke puncak Gunung Kinabalu pada Tahun 2004, merupakan “Tipping Point” bagi diri saya, satu detik atau peristiwa yang mengubah mentaliti diri saya bahawa, saya boleh lakukan banyak perkara sekiranya saya berikan sepenuh perhatian dan berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan menjejakkan kaki ke puncak Gunung Kinabalu, menyuntik semangat baru dalam diri saya, menjadikan saya bertambah yakin dalam mengharungi cabaran dan dugaan dalam kehidupan.

Ya, memang betul, Gunung Kinabalu bukanlah tinggi mana kalau hendak dibandingkan dengan gunung-gunung di Banjaran Himalaya, kalau hendak dibandingkan dengan Gunung Everest, memang jauh bezanya. Puncak Gunung Kinabalu terletak pada pada ketinggian  4,095 meter, manakala Everest Base Camp, di mana para pendaki berkhemah untuk menyesuaikan diri selama berminggu-minggu atau mungkin sebulan dua terletak pada ketinggian 5300 meter, bayangkan, Base Camp sahaja sudah lebih tinggi daripada puncak Gunung Kinabalu, itu belum lagi puncak Gunung Everest iaitu pada ketinggian 8,848 meter, lebih dua kali ganda ketinggian Gunung Kinabalu. 

Cuma apa yang saya hendak kongsikan di sini ialah, yang menarik bagi saya ialah perjalanan menuju ke puncak gunung tersebut, sama juga seperti pendakian ke Puncak Gunung Everest, bukan boleh lama-lama sangat berada di puncak, penat lelah sebulan dua atau lebih mendaki cuma untuk kepuasan beberapa minit sahaja di puncak Gunung, rasa macam tidak berbaloi dengan jumlah bayaran yang dikenakan.

Pendakian ke puncak Gunung Kinabalu banyak mengajar saya untuk yakin dan percaya dengan diri sendiri, sekiranya kita pernah dengar cerita-cerita dari rakan-rakan yang pernah mendaki Gunung Kinabalu, sama ada berjaya atau tidak, selain mesti mempunyai stamina dan tubuh badan yang sihat, yang paling penting dan utama ialah kita mesti memiliki semangat yang kuat, ataupun mental yang kuat.

Kita boleh sahaja berbohong pada orang lain, pada rakan-rakan ataupun pada Mountain Guide, bahawa kita tercedera, kita terlalu penat, kita tak larat, dan macam-macam alasan lagi untuk tidak meneruskan pendakian, tetapi hanya Tuhan dan diri kita sahaja yang tahu keadaan sebenar fizikal kita. Ada masanya kita mudah sangat mengalah dengan diri sendiri, kita hilang keyakinan diri akibat kepenatan yang melampau.

Bukan semua orang yang mendaki Gunung Kinabalu berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu, dengan pelbagai faktor, sama ada faktor kesihatan, kecederaan, faktor cuaca, bencana alam dan macam-macam lagi tetapi faktor yang agak mengecewakan ialah bila kita kurang yakin dengan diri sendiri lantas kita mengalah sedangkan sekiranya kita berusaha lebih lagi, insyaAllah perlahan-lahan kita akan sampai juga.

Semasa saya mula-mula mendaki Gunung Kinabalu, destinasi saya sememangnya Puncak Gunung Kinabalu, tetapi setelah empat kali saya mendakinya, destinasi saya bukan lagi untuk mengejar puncaknya, tetapi untuk menikmati panorama alam sekitar. Saya tidak kisah kalau saya antara orang terakhir yang tiba di Laban Rata, sebelum hari gelap dan saya tidak lagi tergesa-gesa untuk tiba di puncak Gunung Kinabalu untuk menikmati pemandangan matahari terbit.

Tetapi yang pasti, saya antara orang terakhir yang turun dari puncak Gunung Kinabalu kerana seboleh-bolehnya ingin mengambil masa menikmati panorama indah dari atas sana, sekiranya keadaan cuaca mengizinkan. Saya rasa macam satu kerugian sekiranya kita tergesa-gesa untuk turun ke bawah sekiraya keadaan cuaca masih bagus, sebabnya bukan setiap hari kita boleh menikmati panorama indah pergunungan dengan sumber udara oksigen yang tidak tercemar.

Ada satu ketika, setibanya saya dari puncak gunung ke Kinabalu Park, di kawasan di mana para pendaki berkumpul, ada seorang pendaki yang baru turun bertanya pada saya, berapa jam saya ambil masa untuk naik ke puncak dan berapa jam ambil masa turun sampai ke bawah? Dalam hati saya kata “What Kind of Question is That?”

Terkedu sekejap saya nak menjawab, telan air liur dulu, tarik nafas panjang-panjang baru jawab. Dalam hati berkata lagi, mamat ni nak berlumba ke apa, nak tunjuk yang dia sampai atas cepat dan turun pun cepat ke apa? Entahlah saya pun tak pasti.

Saya bila bertemu pendaki yang baru turun dari gunung, biasanya saya bertanya “cantik tak sunrise pagi tadi?” “cuaca pagi tadi ok tak?” Saya akui saya slow, slow sebab saya cuba menghayat pemandangan di atas sana yang bukan saya boleh lihat setiap hari. Bila jumpa port view cantik sikit, saya berhenti, ambil gambar, tengok puas-puas baru jalan, mendaki lagi dan saya rasa photographer atau sesiapa sahaja yang minat photography kalau dia naik gunung, merekalah antara orang yang paling slow, pasal ada sahaja benda yang hendak mereka rakam, berlainan pula kalau mendaki dengan Kaki Gunung, yang seringkali turun naik gunung (yang kurang minat photography), target mereka untuk sampai ke puncak gunung sepantas mungkin.

Semasa mendaki Gunung Kinabalu, ada juga kalangan pendaki yang sampai awal ke puncak Gunung, sebelum matahari timbul mereka dah sampai ke puncak dan bila sampai sahaja  di puncak, mereka turun, pasal misi mereka dah selesai, saya tahu pasal pernah berselisih dengan pendaki yang turun dari puncak walaupun keadaan gelap lagi. Misi mereka untuk jejak kaki ke puncak dah sampai, so takde apa nak tunggu dah.

Dan ada juga sebahagian pendaki yang berteduh di balik bongkah-bongkah batu besar di bawah puncak gunung tersebut, mereka berlindung di situ kerana menanti hadirnya sang matahari, mereka hendak lihat matahari terbit. Nak tunggu di atas puncak gunung, sejuk sangat, tiada bongkah-bongkah batu besar untuk berlindung dari angin yang ibarat pisau tajam menghiris kulit, cuaca teramat sejuk, ditambah pula dengan angin lalu, sememangnya satu penyiksaan dalam kenikmatan.

Bagi sang pengembara, perjalanan itu adalah destinasi sebenar yang mereka tujui. Walaupun perhentian terakhir saya ialah Beijing China semasa melakukan Trip Trans-Siberian Journey, Beijing bukanlah destinasi yang saya idamkan, apa yang saya idamkan ialah perjalanan tersebut, perjalanan merentasi negara paling besar di dunia iaitu Russia dengan menaiki keretapi serta menikmati pemandangan serta menimba pengalaman daripadanya. Kalaulah Beijing merupakan destinasi saya, lebih baik saya naik kapal terbang dari Kuala Lumpur dan terus terbang ke Beijing, apa perlunya saya menghabiskan masa berhari-hari dalam keretapi, tetapi perjalanan itulah destinasi sebenar saya.

Begitulah juga kisah pendakian saya ke puncak Gunung Kinabalu, saya habiskan masa dua hari perjalanan menuju ke puncak dengan tidur satu malam di Laban Rata tetapi menghabiskan masa lebih kurang 2,3 jam di puncak sahaja. Manakala semasa trip Trans-Siberian, saya menghabiskan masa lebih kurang dua hari di Beijing dan menghabiskan lebih kurang tiga minggu perjalanan berkeretapi dari Saint Petersburg ke Beijing. Saya habiskan banyak masa dalam perjalanan kerana perjalanan tersebut ialah destinasi sebenar saya.

*Artikel Berkaitan | Dapatkan Kompilasi Travelog 7 BENUA secara online dengan saya, klik pada link ini Buku Travelog 7 Benua 

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.