Adventure,  Travel

Kembara Trans-Siberian Railway | Jauh Perjalanan Luas Pengalaman

© 2014 Wazari Wazir | Trans-Siberian Journey | Inside Russian 3rd Class Platzkart

© 2014 Wazari Wazir | Trans-Siberian Journey During Chilling Cold Siberian Winter

Sebelum anda bertanya kepada saya, siapakah gerangan Gadis Russia yang merakam gambar saya ni, biarlah saya jelaskan, gambar ni saya rakam secara “Self-Timer” di mana saya letakkan kamera saya tu pada bahagian tengah antara palang besi yang terdapat di tepi katil atau hadapan tempat duduk saya ni, di bahagian besi tu macam ada satu tapak yang agak rata, actually tapak tu untuk kita pijak dan naik ke bahagian katil sebelah atas, “Upper Berth Sleeping Area.”

Banyak kali juga saya rakam untuk dapatkan mood yang saya kehendaki tapi takdelah sampai berpuluh-puluh kali, ada la 3,4,5 kali. Lebih lagi tak berani, takut  kalau-kalau secara  tiba-tiba keretapi brek mengejut, tercampak pulak kamera Fujifilm X100T yang belum lagi menyambut hari jadi keluar kedai yang ke-sebulan tu ke lantai keretapi ni, susah hati saya.

© 2010 Going Places Magazine | Trans-Siberian Railway | Granddaddy of All Super Rail Journey

Betul kata pepatah Melayu “Jauh Berjalan, Luas Pengalaman,” dan kalau hendak kaitkan dengan jauhnya perjalanan,  Trans-Siberian Railway ini memang tiada tandingannya.

Dalam majalah rasmi Syarikat Penerbangan Malaysia MAS (Kini MAB), iaitu Malajah Going Places satu ketika dahulu, pernah ditulis satu artikel pendek tentang perjalanan berkeretapi seluruh dunia dan di dalam artikel tersebut dituliskan bahawa trip Trans-Siberian Railway is “The Grandaddy” of all train trips.

Cuma yang dalam gambar di atas tu, ialah gambar kereta api mewah Golden Eagle Trans-Siberian Express, ini ialah kereta api khas untuk pelancong. Ruang di dalamnya tak ubah seperti hotel lima bintang yang bergerak dan pakej paling murah untuk 2 minggu perjalanan ialah USD17,000 dan pakej paling mahal hampir mencecah USD75,000.

Pengalaman melawat negara orang banyak mengajar saya erti kehidupan dan agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada, tetapi itu bukanlah bermakna kita tidak perlu komplen itu ini kepada pihak-pihak tertentu agar sesuatu perkara itu ditambah-baikkan atau diperbetulkan, bukanlah bermakna membiarkan kezaliman berlaku sana sini ataupun membiarkan  kita diperkotak-katikkan oleh orang dan redha sahaja atas segala ketentuan, itu bukan maksud saya.

Maksud saya  setiap kali melihat negara orang, setiap kali itu juga, saya rasa cukup bersyukur dengan apa yang saya miliki, kehidupan saya anak beranak bukanlah sempurna sangat ataupun mewah sangat, nak kata sederhana pun jauh sekali, kalau nak ikutkan cakap Pak Menteri kita, kehidupan kami sekeluarga boleh dianggap sebagai golongan miskin tegar di Bandaraya Kuala Lumpur ini.

Gambar di atas saya rakam sewaktu dalam perjalanan dari Kazan ke Irkutsk yang mana mengambil masa tiga hari perjalanan dalam keretapi, maksudnya selama tiga hari itu kehidupan saya hanya dalam keretapi sahaja, sesekali bila keretapi berhenti untuk mengambil dan menurunkan penumpang, saya pun turun sekejap untuk meregangkan badan sambil mengambil udara segar yang dingin di luar sebelum masuk semula ke dalam perut keretapi dan meneruskan lagi perjalanan ke Irkutsk.

© 2014 Wazari Wazir | Masjid Kul Sharif | Kazan

Semasa dalam perjalanan dari Moscow Ke Kazan, saya berkenalan dengan seorang pemuda dari Kazan ni, dia belajar di Moscow tetapi dalam perjalanan pulang ke Kazan kerana mengambil kesempatan cuti di tempat dia belajar. Mungkin kerana wajah saya yang asing di dalam keretapi tersebut dia memberanikan diri berbual dengan saya.

Actually sebelum tu ada konduktor train datang dan cakap-cakap dengan saya, konduktor train yang lebih dikenali di Russia sebagai “provodnitsa,” konduktor tu cakap dalam Bahasa Russia, saya cuma menggangguk sahaja walaupun sepatah haram tak faham.

Pemuda tersebut pun macam tahu saya tak faham, so dia datang pada saya, dan explain balik apa yang konduktor tu cakap dan kami pun bersembang, dia tanya saya apa saya buat, dari mana hendak ke mana dan dia pun beritahu saya yang dia minat jugak nak travel, kalau boleh w”summer” ataupun waktu musim panas dia berminat untuk kembara ke Beijing dan Korea Selatan.

Sebelum tu saya tanya dia jugak, pernah ke pergi Irkutsk? Dia jawab tak pernah dan saya bagitau dia lagi, perjalanan keretapi ke Irkutsk dari Kazan mengambil masa selama 3 hari perjalanan, macam terbeliak sikit biji mata dia dengar jawapan saya. Russia adalah negara paling besar di dunia. Malaysia yang kecil ini pun ada orang Kuala Lumpur yang belum pernah ke pantai timur iaitu Terenggagu dan Kelantan, apatah lagi ke Sabah dan Sarawak. Perjalanan keretapi dari Butterworth ke Bangkok pun hanya mengambil masa 22 jam, tak sampai sehari, bayangkan 3 hari dalam keretapi.

Kadang-kadang masa kita jumpa orang di sepanjang perjalanan kita rasa bersyukur sangat kerana ada dikalangan mereka yang tidak pernah melihat dunia luar daripada negara mereka sendiri dan untuk rakyat di Russia ini pula mungkin hampir mustahil untuk kebanyakan rakyatnya berpeluang untuk menjejakkan kaki ke segenap penjuru sempadan di Russia ini, ada kawasan-kawasan tertentu di Russia ini memerlukan permit khas untuk rakyat tempatan memasukinya.

Sesekali saya melihat di luar tingkap keadaan perkampungan yang seakan tidak berpenghuni, ada banyak rumah-rumah kayu yang kelihatan agak uzur, ada juga yang agak moden tetapi amat payah untuk saya jumpa orang-orang di luar rumah. Mungkin kerana suhu musim sejuk yang melampau, ramai daripada mereka hanya berdiam di dalam rumah sahaja kalau tiada keperluan untuk keluar rumah.

Bagi saya yang sesekali merasa pengalaman musim sejuk mungkin rasa sedikit teruja melihat mukabumi Siberia yang dilitupi salji tetapi mungkin bagi mereka yang tinggal di Siberia, musim sejuk bukanlah masa untuk diraikan. Ianya satu penyiksaan bagi sesetengah mereka, kehidupan menjadi sukar.

Hendak keluar rumah, susah, banyak jalan-jalan utama tertutup akibat terhalang oleh saji yang tebal, ada di antara kenderaan mereka yang sekan “hilang” dilitupi salji yang tebal. Perlu mencari kayu api yang banyak untuk menghangatkan suasana di dalam rumah dan macam-macam kesukaran lagi.

Tidak hairan kalau kita lihat sebahagian besar rakyat Russia, berwajah agak ketat, serius, kasar, bertubuh sasa, semua ini mungkin kesan daripada persekitaran mereka yang extreme. Mereka tidak boleh jadi manusia yang “lembik” untuk hidup di Russia. Mereka perlu kuat untuk meneruskan kehidupan.

Semasa di Moscow saya sempat berbual dengan pelajar Malaysia di sana, beliau berkata, di Russia, dalam cuaca sejuk macam mana pun, ibu bapa di Russia akan bawa anak mereka keluar berjalan-jalan di luar, bukan jalan-jalan makan angin tetapi untuk membiasakan anak-anak mereka dengan suhu sejuk yang melampau di Russia.

Supaya anak-anak mereka menjadi kuat terutamanya dari segi fizikal dan kalau ada di kalangan ibu bapa yang enggan membawa anak-anak mereka keluar rumah sewaktu kesejukan di bawah paras beku, maka datuk atau nenek kepada cucu mereka pasti akan membawa mereka keluar, dari kecil mereka diasuh untuk membiasakan diri hidup di persekitaran yang mencabar.

© 2014 Wazari Wazir | Winter in Saint Petersburg | Russia

Di Russia mereka dikenali sebagai “Babushka”, nenek ataupun wanita yang sudah lanjut usianya, dan mereka ini seringkali kelihatan memakai anak tudung kecil menutupi kepala. Untuk perkongsian lagi di Russia, golongan “Babushka” sangat dihormati, maksud saya, rakyat Russia cukup menghormati warga tua.

Anak-anak kecil di Russia diasuh dari awal untuk menghormati “Babushka” melakukan yang terbaik untuk menolong mereka, biasa di dalam Metro di Moscow, kalau nampak sahaja “Babushka” ni memasuki train pasti dengan pantas anak-anak muda akan bingkas bangun dan memberikan tempat duduk pada mereka, kalau buat tak tahu atau mungkin tak nampak, sudah pasti ada orang yang akan menegur secara terbuka dan bukan marah dalam hati sahaja.

Macam-macam pengalaman lagi yang saya jumpa sepanjang perjalanan yang panjang ini, ada satu ketika tu seorang lelaki ni hendak turun dari keretapi, mungkin dah sampai destinasi dia. Barang-barang yang dia bawa agak banyak, amat mustahil untuk dia bawa sekali harung turun keretapi, antara lain ialah sebuah Kotak Peti Televisyen, kalau tak silap bersize 40 inci, kira flat screen lah, LCD atau Plasma saya tak pasti.

So dia ambil kotak televisyen tu, letakkan dekat dengan kaki saya yang tengah takde buat apa sambil mengisyaratkan kepada saya untuk bawak turun ke bawah. So, saya pun angkat kotak peti televisyen tersebut dan hulur pada dia dari atas tanga keretapi sahaja. Rasa seronok dapat membantu orang walaupun untuk bantuan yang tak seberapa.

© 2014 Wazari Wazir | Provodnitsa | Train Conductor

Dalam perjalanan yang panjang tu, sempat juga saya berbual-bual dengan konduktor train (Gambar Atas | Lelaki Sebelah Kiri) dari Ulan-Ude, punyalah bersemangat dia cerita, tetapi sepatah pun saya tak berapa nak faham, cuma yang saya faham bila dia guna bahasa isyarat. Tunjuk macam isyarat perempuan sedang mengandung, mungkin dia hendak beritahu bahawa isteri dia di Ulan-Ude sedang mengandung dan bertanya saya sudah kahwin ke tidak, so saya pun ambil iPhone saya dan tunjukkan gambar anak -anak dan isteri saya dalam phone tu.

Orangnya bermisai tebal, bertubuh sasa, kelihatan agak bengis, mirip wajah orang Turki tetapi bila berbual kelihatan cukup mesra. Untuk perjalanan yang panjang itu, saya sering tertanya dalam sebulan entah berapa kali dia jumpa anak isterinya, maklumlah perjalanan keretapi mengambil masa berhari-hari untuk sampai ke destinasi, dan berhari-hari jugalah kaum keluarganya ditinggalkan. Perjalanan kereta api dari Moscow ke Ulan Ude mengambil masa lebih tiga hari perjalanan.

3 Minutes

*UPDATE : Untuk mengetahui ataupun mungkin menyelami perasaanya, perasaan Train Konduktor tersebut, mungkin kita boleh lihat iklan APPLE sempena Chinese New Year 2018 di mana mengisahkan seorang konduktor kereta api jarak jauh, yang rindukan anaknya dan sempat berjumpa dengan anaknya selama 3 minit sewaktu kereta api berhentidi platform di mana anaknya tinggal.

Banyak lagi kisah yang hendak saya cerita, biarlah selebihnya saya simpan dahulu dan insyaAllah kalau ada rezeki saya akan kongsikan di dalam buku perjalanan Trans-Siberia saya…

*Kepada yang berminat untuk mengetahui sebahagian kisah perjalanan saya di Russia, iaiatu di Saint Petersburg, di mana bermulanya kembara Trans-Siberia saya, boleh dapatkan buku di bawah, boleh klik pada link ini Buku Travelog 7 Benua 

Travelog 7 Benua

I'm a Photographer and Travel Blogger...

4 Comments

  • rahimah

    Nak rasa trip trans-siberian ni.Nak rasa tidur dalam keretapi macam orang lain.Takut tak lepas aje.Kena doa banyak banyak sebab mesti ada macam macam yang kita boleh alami sepanjang perjalanan tersebut.

  • ARz MoHa

    Ya semakin jauh perjalanan semakin banyak pengalaman. Seronok membaca tetapi kalau lebih banyak gambar mungkin lebih mudah menggambarkan apa yg WW maksudkan.
    Menghormati orang tua juga antara budaya kita juga tapi sayangnya makin terhakis

  • Pak Ali

    Sy pernah naik keretapi dari New Delhi ke Bangalore…dua hari lebih perjalanan..mmg best. Teruja dgn Trans Siberia dan kisah perjalanan ni…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.