Photojournalism,  Travel

Istiadat Pertabalan Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah | Sultan Perak XXXV

Istiadat Pertabalan DYMM Sultan Perak Ke XXXV | Kuala Kangsar

© 2015 Wazari Wazir | Istiadat Pertabalan Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah | Sultan Perak XXXV | Kuala Kangsar

The Photographers | Enthronement Of Sultan Of Perak XXXV  | Pertabalan DYMM Sultan Perak Ke XXXV | Kuala Kangsar

© 2015 Wazari Wazir | Sebahagian Anggota Jab. Penerangan Yang Terlibat Dalam Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV

Pada bulan Mac yang lepas kami jurufoto Jabatan Penerangan Malaysia terlibat dalam Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor dan kini pada bulan May, kami terlibat pula dengan Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV, actually kami tak punya banyak masa untuk berehat, apa lagi bercuti kerana sekembalinya daripada Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, kami sekali lagi disibukkan dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke 26 di Kuala Lumpur pada bulan April lepas.

Sepertimana di Johor Baharu, untuk Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV, ini sekali lagi kami jurufoto Jabatan Penerangan Malaysia telah diberi tanggungjawab untuk menjadi jurufoto rasmi bagi majlis ini terutamanya rakaman gambar di dalam Balairong Seri di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Selain daripada kami, jurufoto dari BERNAMA juga turut membuat liputan di dalam Istana Iskandariah kerana mereka adalah jurufoto rasmi yang mewakili media-media massa yang lain di Malaysia.

Jurufoto daripada media massa selain dari BERNAMA dan Jabatan Penerangan masih lagi boleh membuat liputan foto di sekitar perkarangan istana dan juga liputan acara-acara lain yang berlangsung di sekitar Kuala Kangsar terutamanya.

Di dalam Balairong Seri Ini, di bahagian bawah terutamanya, kami menempatkan lima orang jurufoto, dua di bahagian kiri dan kanan singgahsana, dua lagi di bahagian tengah kiri dan kanan, manakala seorang lagi di bahagian belakang singgahsana untuk “Frontal View” atau “Centre View”, selain daripada itu terdapat beberapa jurufoto lagi ditempatkan di bahagian atas singgahsana untuk merakam gambar dari sudut yang berbeza, juga terdapat beberapa orang jurufoto lainnya yang merakam gambar di luar istana, terutamanya untuk keberangkatan tiba Sultan Perak dan juga terdapat jurufoto yang menjaga di bahagian bilik media di pusat media untuk urusan pengagihan gambar.

Secara keseluruhan terdapat lebih kurang 17 jurufoto Jabatan Penerangan Malaysia yang terlibat secara langsung untuk urusan pertabalan ini yang bermula dari 3 Mei hingga 18 Mei. Selain daripada itu, kami juga dibantu oleh pakar IT kami dari “BTM” iaitu Bahagian Teknologi Maklumat Jabatan Penerangan yang mana banyak membantu kami dalam urusan transmit gambar secara “Real Time” terus ke pusat media.

Untuk pengetahuan semua, pihak kami menggunakan dua unit kamera Nikon D4 yang dilengkapi dengan WT-5A Wireless Transmitter iaitu sejenis alat untuk menghantar gambar secara terus ke komputer tanpa wayar. Walaupun alat ini sizenya lebih kurang sebesar buah kurma, namun harga untuk satu unit mencecah lebih RM2K. Dengan harga RM2K itu sebuah kamera DSLR entry level pun mampu kita beli.

Pihak Jabatan hanya memiliki dua unit sahaja, lagipun WT-5 tersebut hanya sesuai digunakan pada body Nikon D4, boleh juga digunakan pada body D800, D810 atau D7000 tetapi perlu ada alat tambahan iaitu “UT-1 Communication Unit”, alat itupun mahal juga. nak beli banyak pun kurang berbaloi rasanya kerana bukannya nak pakai selalu, lagipun jangka hayat sesebuah kamera DSLR zaman ini dalam lingkungan tiga hingga 5 tahun atau kurang lagi. Kita jangan samakan dengan kamera yang digunakan oleh mereka yang hanya mengambil gambar hujung minggu, kamera photojournalist ini bekerja hampir setiap hari dan mungkin hanya akan bertahan untuk memberikan hasil yang terbaik dalam tempoh tiga hingga empat tahun sahaja.

Antara sebab kami perlukan sejumlah anggota yang ramai semasa adat istiadat ini berlangsung terutamanya di dalam Balairong Seri ialah kerana pergerakan kami terbatas. Kami tidak boleh bergerak sesuka hati, di mana sahaja kami diletakkan, di situlah kami akan mengambil gambar dari mula istadat berlangsung hingga tamat.

Saya berdiri di sebelah kiri singgahsana bermula seawal jam 8 AM hinggalah keberangkatan tiba Sultan Perak sekitar jam 11 AM, saya perlu berada di sana lebih awal untuk mengambil gambar tetamu-tetamu kehormat yang hadir, lebih kurang empat jam berdiri di sudut sana, (Lupakan kalau hendak berulang alik ke tandas atau menghisap rokok, bagi yang merokok). Kami jurufoto semua bergerak masuk ke dalam perkarangan Istana seawal jam 7 AM pagi.

Zaman sekarang ini semuanya hendak cepat, dan oleh kerana itu kami perlu alat seperti WT-5, cuma kami tidak memiliki unit yang banyak, kalau ada pun kami perlu tambahan kamera D4 lagi dan bukan boleh dibeli dengan kadar segera, selain itu kami juga mendapatkan jasa baik pihak Nikon dan Canon Malaysia yang sudi meminjamkan kepada kami beberapa unit kamera serta lens untuk memudahkan kami melakukan tugasan ini, terima kasih Nikon, Terima Kasih Canon.

Dengan bantuan WT-5, selang beberapa minit sahaja gambar dirakam, gambar tersebut telah boleh dimuatnaik ke laman internet dan digunapakai oleh pelbagai media untuk online news mereka.

Zaman sekarang ni, semuanya ingin jadi yang pertama, kalau kita boleh jadi antara orang pertama yang share gambar atau maklumat peristiwa yang bersejarah di media sosial, kita mungkin dianggap cool atau hebat berbanding rakan-rakan kita yang lain, yang agak terlewat mengikuti perkebangan semasa dan gambar di atas yang saya kongsikan ini, walaupun masih baru mungkin dah boleh masuk kategori “Ketinggalan Zaman” kerana sudah terlalu banyak gambar-gambar isitiadat pertabalan tersebut dikongsikan di media massa pada hari pertabalan.

Saya tak kisah kalau dikatakan ketinggalan zaman atau tidak cool, bukan itu yang saya cari, kalau itu yang saya cari baik saya rakam gambar Istiadat tersebut melalui kamera iPhone saya dan cepat-cepat saya upload ke Instagram, sudah tentu rakan-rakan facebook saya akan kata, hebat betul mamat ni, padahal dalam hati mungkin mereka akan  kata “PoYo Sungguh Mamat Ni”.

Sepanjang Istiadat Pertabalan berlangsung di dalam Balairong Seri, sekalipun saya tidak mengambil gambar menggunakan iPhone, sebaliknya iphone saya matikan, walaupun boleh saya setkan pada Silent Mode ataupun Mode Penerbangan “Airplane Mode” yang ada gambar kapal terbang itu. Saya tak mahu mengambil risiko, buatnya semasa Sultan Nazrin menerima Pedang Cura Simanjakini dari  Raja Chik Muda Pawang Diraja, telefon saya berbunyi, memang nahas yang saya cari, tak cukup tanah di Kuala Kangsar saya berlari, ke Siberia saya pergi.

Setiap sudut di mana jurufoto ditempatkan mempunyai daya kekuatan visual yang tersendiri, merakam peristiwa bersejarah ini memerlukan kerjasama berpasukan, kita tak boleh berebut-rebut memilih sudut pandang yang kita kehendaki, di mana boss kami tempatkan kami, di situlah kami mengambil gambar, kalau semua berkeras inginkan spot yang terbaik, maka susahlah kerja.

Semasa Sultan Perak mengucup Pedang Cura Simanjakini, sudut visual terbaik adalah dari “Front View” iaitu di bahagian hujung singgahsana di mana Sultan Perak berangkat masuk, manakala di sudut saya pula semasa penyerahan Naskah Al-Quran, Teks ucapan dan kedatangan tetamu kehormat adalah spot saya dan juga buat rakan saya di sebelah kanan singgahsana. Yang paling penting setiap moment atau detik bersejarah dapat dirakam sebaiknya oleh jurufoto jabatan, tak kira dari sudut mana kita ditempatkan.

Banyak lagi corat coret kalau hendak saya ceritakan, story mory tentang Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pun masih tak habis ditulis, itu tak masuk kisah Pengambaraan Solo Trans-Siberian Railway saya dari Saint Petersburg Russia hingga ke Beijing China, menggunakan perkhidmatan keretapi sejauh lebih 8000 KM.

Kalau nak dengar banyak lagi cerita dan nak tengok banyak lagi gambar-gambar yang takdelah menarik sangat, saya tak minta anada bayar apa-apa, cukup sekadar doakan kami sekeluarga sihat-sihat semua dan dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur, kalau semua sihat, senang kerja, kalau ada anggota keluarga yang sakit, nak menulis pun tak boleh nak concentrate.

InsyaAllah ada masa saya tulis lagi dan kongsikan lagi gambar-gambar yang saya rakam semasa Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV berlangsung di Kuala Kangsar, penat travel di Siberia pun tak habis lagi, ada hati nak beli tiket keretapi lagi, sampai jumpa lagi di lain entry…

*Saya hanya jurufoto kuli arang Jabatan, bergambar beramai-ramai pun di bahagian tepi, nasib baik masih boleh masuk frame… 🙂

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.