Adventure,  Art,  Travel

Kembara Fotografi | Bukan Sekadar Mengambil Gambar

Travel Photography | Taj Mahal | India

© 2012 Wazari Wazir | Taj Mahal | Agra India | 24 mm | ISO 200 | f/11 | 1/125

Ada yang berkata kalau kita nak ambil gambar yang menarik, tak perlu pergi luar negara, di Malaysia pun banyak subjek yang kita boleh rakam, cuma cantik atau tidak terpulang kepada kemahiran masing-masing. Ya, memang betul, saya setuju dengan pandangan tersebut. Kalau kita rajin melihat hasil karya photographer tempatan memang agak banyak rakaman foto menarik dalam negara yang mereka rakam hinggakan ada yang berjaya buat pameran di dalam dan luar Malaysia dengan gambar-gambar tempatan.

Saya bukan nak mempertikaikan tentang perkara tersebut tetapi bagi saya, sekiranya kita pergi keluar negara untuk merakam gambar, ia bukanlah semata-mata untuk merakam gambar, malahan lebih daripada itu. Masing-masing punya sebab tersendiri mengapa mereka keluar negara dan salah satu sebab utama saya keluar negara bukanlah untuk mengambil gambar yang menarik tetapi lebih daripada itu.

Saya ingin menimba pengalaman baru, melihat negara orang dengan mata kepala sendiri dan bukannya melaui sudut pandang mata orang lain ataupun sudut pandang jurufoto media internasional yang mempunyai kepentingan ataupun agenda mereka sendiri.

Kita bukan hidup lama di dunia ini, kalaupun kita mampu hidup sehingga seratus tahun sekalipun ianya bukanlah tempoh yang panjang dan saya tidak ingin habiskan sebahagian besar usia saya di atas muka bumi ini hanya melihat bumi tanah tumpah saya sendiri. Bagi saya alangkah ruginya kita yang dikurniakan sedikit kelebihan dan kemampuan untuk keluar melihat negara orang tetapi tidak menggunakan kesempatan itu.

Banyak perkara yang saya belajar dengan keluar melihat negara orang. Fikiran kita akan lebih lebih terbuka, kita akan menjadi manusia yang lebih banyak bersyukur dengan kelebihan serta kekurangan yang kita ada. Mungkin salah satu sebab yang merangsang saya untuk keluar ialah kerana rasa ingin tahu yang yang cukup menebal dalam diri.

Dalam Islam sendiri pun sememangnya kita secara sedar atau tidak kita digalakkan untuk mengembara ataupun keluar melihat negara orang, di dalam Al-Quran pun terdapat ayat-ayat yang menggalakkan kita keluar, dan memang ada sebab mengapa kita dijadikan berbilang bangsa, agama  dan keturunan, adat dan budaya serta warna kulit yang berbeza agar kita saling kenal mengenal sesama kita. Mereka yang berada di hujung dunia sana pun bukanlah diciptakan oleh Tuhan yang lain, melainkan Tuhan yang satu.

Dunia ini sebenarnya adalah ibarat sebuah rumah yang cukup besar di mana asal kejadian kita ialah dari Adam dan Hawa dan setelah beribu tahun atau beratus ribu tahun lamanya kita terpisah sesama kita hingga ada yang tinggal di kawasan tinggi di kawasan pergunungan dan juga jauh hingga ke Kutub Utara dan Selatan, di kawasan tanah yang subur hinggalah ke kawasan padang pasir yang tandus.

Walaupun kini dengan kecanggihan teknologi, dengan internet, kita boleh mengetahui apa yang ada di hujung sudut dunia hanya melaui hujung jari tetapi percayalah ianya tidak akan pernah sama dengan menyaksikan segalanya dengan mata kepala sendiri.

Sebelum menulis artikel ini saya baru sahaja habis membaca buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil bertajuk “Menalar Makna Diri, Menjejak Imam Birgivi”, dalam buku tersebut di halaman 276, beliau menulis “Kita mungkin teruja melihat keindahan masjid-masjid di Turki hingga kita tidak dapat melihat dengan jelas apa kelebihan yang ada pada masjid kita. Perlukan mata orang asing untuk memerhati.

“Saya sangat kagum dengan masjid ini (Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi). Makmur dengan jemaah yang ramai dan paling utama, penuh dengan kanak-kanak. Kebisingan kanak-kanak di masjid adalah satu rahmat. Di Turki, tidak banyak masjid yang begitu,” kata Salih Eniste (Sahabat Ustaz Hasrizal yang berkunjung ke Malaysia).

Walaupun kadang-kadang kita perlukan mata orang luar untuk menilai apa yang ada di bumi Malaysia, kita juga kadang-kadang akan berasa betapa bertuahnya kita di Malaysia berbanding dengan sesetengah negara yang kita kunjungi. Namun begitu ada juga perkara-perkara tertentu yang boleh kita pelajari dari negara-negara yang kita lawati terutamanya negara-negara maju yang mana sesuai untuk dipraktikkan di Malaysia untuk kebaikana bersama.

Tetapi dari pengalaman saya, sememangnya tidak ada negara yang sempurna, walaupun saya belum pernah lagi menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah (insyaAllah semoga ada rezeki saya ke sana satu hari nanti) banyak juga cerita-cerita yang kurang enak yang saya dengar, terutamanya tentang perilaku penduduk tempatan ataupun mereka-mereka yang mencari rezeki di sana. Cuba bayangkan penduduk di Tanah Suci Makkan pun bukanlah seratus peratus baik-baik belaka, inikan pula yang jauh dari sana.

India pula ialah negara pertama yang saya kunjungi dengan menggunakan duit poket sendiri, sebelum ini saya pernah ke luar negara, namun itu adalah atas urusan kerja. Segalanya diuruskan oleh pihak Jabatan dan Agensi terbabit tetapi, India, saya dan kawan-kawan yang menguruskan sesama sendiri.

Mulanya saya agak takut juga untuk ke India tetapi saya beranikan diri, rasa takut itu muncul kerana banyak perkara yang kita dengar melalui media massa yang kebanyakannya bukanlah berita yang baik-baik, bom meletup di sana sini, gerabak keretapi juga kekadang turut menjadi mangsa bom dan macam-macam lagi.

Syukur Alhamdulillah India bukanlah seteruk yang digambarkan oleh media massa, cukup ramai pelancong dan mereka yang mengembara ala “backpackers” yang saya jumpa di Pahar Ganj New Delhi, Rajasthan dan juga di Agra dan Syukur Alhamdulillah, sudah dua kali ke India dan dari pengalaman saya India agak selamat untuk dikunjungi cuma media massa kita sering dihebohkan dengan berita yang kurang enak tentang India. Kita perlu sedar India ialah sebuah negara yang cukup besar. Kes-kes yang agak kecil tetapi sering diputar berkali-kali di kaca TV menunjukkan seolah-olah seluruh India itu amat bahaya untuk dikunjungi.

Apa yang anda lihat dalam gambar di atas hanyalah sebuah bangunan iaitu Taj Mahal yang mengambil masa selama 22 tahun untuk disiapkan (siap pada tahun 1653). Dari segi gambar ianya hanyalah biasa-biasa, tiada ada elemen WOW!!! dan memang betul, sesiapa sahaja yang berada di sini pada waktu yang sama dengan kamera yang hampir sama keupayaanya mampu merakam gambar yang sama namun untuk sampai ke sini bukanlah semudah itu. Pengalaman yang dilalui untuk sampai ke sini adalah sesuatu yang lebih berharga dari sekeping gambar yang dirakam.

Travel Photographer and Writer | Agustinus Wibowo

© 2014 Wazari Wazir | Bersama Agustinus Wibowo | Penulis Buku Titik Nol

Dan memang betul kata orang, destinasi itu bukanlah sesuatu yang penting tetapi perjalanan untuk ke satu satu destinasi itulah yang perlu dihayati dan dikenang sepanjang hayat. Baru-baru ini juga saya berkesempatan berjumpa dengan penulis buku travelog terkenal dari Indonesia yang amat saya kagumi iaitu Agustinus Wibowo, semasa dalam perjalanan dari KLIA ke Putrajaya, saya sempat bertanyakan pada beliau, apakah beliau masih berminat untuk meneruskan pengembaraannya ke Afrika Selatan sebagaimana yang dirancangnya sebelum ini (Dari Beijing Ke Afrika Selatan Melalui Jalan Darat), jawapan spontannya ialah “Destinasi Itu Tidak Penting”, itu sahaja jawapannya, saya terkedu untuk menanyakan soalan lain dan saya cukup faham akan “Makna Sebuah Perjalanan.”

“Cermin, ya. Tak salah jika orang bilang hidup itu adalah sebilah cermin. Dunia di matamu sesungguhnya adalah cerminan dari hatimu sendiri. Caramu memandang dunia adalah caramu memandang diri. Jika dunia penuh kebencian dan musuh ada di mana-mana, sesungguhnya itu adalah produk dari hatimu yang dibalut kebencian.”

– Agustinus Wibowo –

Ramai yang berkata sekeping gambar mampu mengungkapkan seribu patah perkataan, bagi saya pula setiap gambar yang dirakam apabila saya lihat kembali, ianya akan menyingkap kembali seribu pengalaman dilalui untuk sampai ke tempat yang dituju. Melihat kembali gambar Taj Mahal ini, terbayang sewaktu mula-mula membeli tiket keretapi di Stesen Keretapi New Delhi, hinggalah sampai ke Hotel Saniya palace di Agra. Sekeping gambar menyimpan beribu kenangan yang tidak boleh dirakam oleh sebuah kamera, perjalanan saya bukanlah sekadar mengambil gambar.

Setiap kali apabila kita memandang sebuah gambar yang dirakam oleh seorang photographer baik gambar rakaman di Malaysia ataupun luar negara, janganlah kita terlalu cepat mengomen atau mengkritik akan cantik atau tidaknya gambar tersebut tetapi fikirkanlah terlebih dahulu akan usaha serta pengalaman yang dilalui oleh photographer tersebut hingga terhasilnya gambar itu. Terkadang pengalaman untuk mengambil sesuatu gambar itu lebih menarik untuk diceritakan berbanding hasil gambar itu sendiri.

Nepal Himalaya

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.