Adventure,  Travel

Panduan Untuk Pelancong | Tips Memilih Beg Yang Sesuai

Travel Photography | Pahar Ganj | New Delhi | India

© 2012 Wazari Wazir | Backpackers at Pahar Ganj, Main Bazaar | New Delhi | India

Mengapa “Pelancong”, mengapa tidak “Pengembara”? Antara perkara yang agak sukar bagi saya sebelum menulis blog ialah memilih tajuk yang sesuai dengan intipati artikel yang akan saya tulis. Saya memilih untuk menggunakan perkataan pelancong kerana tertarik dengan tulisan Agustinus Wibowo dalam bukunya berjajuk Titik Nol, sebenarnya kita semua adalah “pelancong”, mungkin ada yang akan mempertikaikan tentang ini tetapi baca dulu apa yang nak saya kongsikan.

Memang ada benarnya apa yang Agustinus tu tulis, bagi saya dia menulis dengan nada bersahaja, mungkin sedikit sinis, sebabnya mudah, ke mana sahaja kita pergi terutamanya ke negara yang memerlukan kita memohon visa, ada ruangan di dalam borang permohonan visa yang menanyakan status kita, apakah kita ke negara tersebut sebagai “Tourist/Pelancong, tidak pula kelihatan ada pilihan untuk memilih antara “Tourist/Traveler”.

Selain daripada pilihan tersebut, dah tentu ada lagi pilihan atau tujuan lain, seperti menghadiri persidangan, mesyuarat, belajar, menziarahi saudara-mara dan lain-lain lagi cuma sepanjang pengalaman saya memang tiada ruang untuk memilih sebagai “Pengembara/Traveler”. Biasanya kalau sesiapa yang ingin ke luar negara atas tujuan makan angin, berjalan-jalan, sama ada seminggu, dua minggu, sebulan atau setahun, hanya “Tourist Visa” yang dikeluarkan dan bukannya “Traveler Visa”, tetapi sekiranya rakan-rakan ada pengalaman yang berbeza dengan saya, jangan malu jangan segan untuk kongsi dengan saya.

Ok, cukuplah tentang tu, tak perlu nak dipertikaikan tentangnya, kembali kepada tajuk asal blog ini. Untuk memilih beg yang sesuai  ketika melancong, kita kena tahu corak perjalanan kita. Saya cuma nak bahagikan kepada dua jenis beg sahaja, iaitu beg galas (backpack) seperti yang kelihatan dalam gambar atas tu dan beg beroda atau beg jenis tarik yang biasa pelancong bawak.

BACKPACK:

Tentu kita biasa dengar “Backpackers”, Backpackers adalah pelancong yang berjalan ke luar negara atau dalam negeri yang membawa backpack, atau beg galas di belakang mereka, kebiasaanya beg galas yang pelancong bawa ini lebih besar daripada sais backpack yang pelajar sekolah bawa.

Backpack ini ada banyak saiz, besar mana, tengok keperluan. Biasanya saiz backpack ini ditulis di beg dalam bentuk Liter. Ok, di sini saya ingin terangkan bila mana sesuai menggunakan backpack ini bagi tujuan melancong.

Backpack ini sesuai untuk pelancong yang tiada jadual perjalanan yang tetap, biasanya mereka tidak booking hotel awal-awal, mereka beli tiket flight dari destinasi A ke destinasi B, dan bila sampai di destinasi B, mereka ambil backpack, naik pengangkutan awam, sampai di bandar,  baru cari hotel.

Biasanya mereka akan mencari bajet hotel, jadi untuk dapatkan harga terbaik mereka akan bawa bersama backpack mereka dari satu hotel ke hotel yang lain dan beg jenis beroda yang ditarik tu memang tak sesuai.

Lagi satu, sekiranya kita banyak menggunakan perkhidmatan awam, baik teksi, bas, tram, keretapi, feri dan lain-lain pengangkutan awam lagi, lebih praktikal menggunakan backpack berbanding beg tarik, bayangkan kalau kita kerap turun naik bas, keretapi kalau nak bawak beg tarik tu agak menyusahkan, dan dari pengalaman saya semasa di India menaiki keretapi, banyak jambatan yang perlu kita naik untuk ke terminal keretapi yang dikehendaki dan kebanyakan stesen keretapi di India tidak ada “escalator”, jadi kurang praktikal kalau nak guna beg jenis tarik ni.

Sekiranya kita ingin trekking atau hiking, contoh trekking di Banjaran Himalaya, backpack memang satu keperluan atau mungkin boleh juga saya tulis di sini satu kemestian, sebabnya, tidak ada kenderaan yang akan membawa beg anda di atas lereng gunung sana, anda kena bawa sendiri, tetapi masih ada pilihan, kita boleh upah porter untuk membawa backpack kita atau mereka akan gunakan yak untuk membawa backpack kita.

BEG TARIK BERODA:

Bila masa pula sesuai guna beg jenis tarik ni? Kebiasaanya sekiranya kita travel atau melancong dengan agensi pelancongan, maka beg jenis ini boleh atau sesuai digunakan, sebabnya kita jarang nak heret beg itu ke sana sini. Situasinya seperti ini, sampai sahaja di lapangan kapal terbang, dah ada kenderaan yang menuggu untuk menjemput kita ke hotel penginapan. Tak perlu nak susah-susah cari hotel.

Sekiranya keesokan hari kita ke lokasi atau bandar lain, ada kenderaan yang akan membawa beg kita ke tempat tersebut, tak perlu susah-susah ke stesen keretapi atau stesen bas untuk membeli tiket dan sebagainya.

Contoh seperti trip saya ke Nepal baru-baru ini yang diuruskan oleh rakan saya Shukur Jahar. Sebaik tiba di Lapangan Terbanag Antarabangsa Tribhuvan Kathmandu, dah ada van yang menunggu kami, semua bagasi dimasukkan ke dalam van tersebut. Keesokan harinya kami ke Nagarkot dari Thamel Kathmandu, menggunakan van yang sama. Sehinggalah kami sampai ke Pokhara dan kembali semula ke Kathmandu. Semuanya telah diuruskan, peserta rombongan tak perlu nak bawa backpack yang berat ke hulu ke hilir. Cukup bawa beg kamera kecil sahaja untuk tujuan mengambil gambar.

Travel Photography | Kathmandu City | Nepal

© 2014 Wazari Wazir | Our Van In Front of Heritage Home Hotel | Thamel | Kathmandu | Nepal

Dalam gambar di atas, kelihatan bagasi kami sedang dimuatnaik ke atas bumbung van, sebelum kami berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan Kathmandu untuk pulang ke Kuala Lumpur. Sekiranya kita mengambil pakej dari agensi pelancongan, kebiasaanya mereka dah sediakan pengangkutan untuk pergi dri satu tempat ke satu tempat, jadi tak perlu kita bawa beg ke hulu dan ke hilir mencari teksi dan bas untuk perjalanan seterusnya, tunggu saja depan hotel, van sampai, bagasi dimuat naik dan terus bergerak ke detinasi seterusnya. Tidak perlu kita nak bawa backpack untuk trip jenis macam ni.

Sama juga dengan trip saya bersama kelarga ke Istanbul tahun lepas, saya bawa juga backpack yang bersaiz sederhana dan juga dua buah beg jenis beroda. Melancong bersama keluarga dengan dua orang anak kecil dah tentu banyak barang yang hendak di bawa, jumlah beg pun agak banyak, cuma di Istanbul kami banyak menggunakan pengangkutan awam, dari hotel untuk naik Tram tak jauh dekat sahaja, lagipun masa tu kami tinggal seminggu di Istanbul, tiada keperluan sangat nak angkat beg ke hulu dan ke hilir setiap hari.

Masa nak ke Bursa, dulu saya minta pihak hotel hubungi teksi untuk membawa kami ke terminal feri di Yenikapi dan kemudian dari terminal Feri di Bursa, kami naik teksi sekali lagi sampai ke pusat bandar. Pergerakan agak mudah dengan teksi, cuma tambangnya agak mahal kalau nak dibandingkan dengan menaiki bas ataupun tram, cuma bila melancong dengan kelarga ni, keselesaan serta keselamatan anak-anak perlulah diutamakan.

The Backpacker

© 2014 Wazari Wazir | Deuter Creed Daypack 18 Litres  (L) and Deuter Act Trail 32 Litres

Soalan yang sering ditayakan kepada saya ialah bagaimana saya membawa peralatan kamera saya ketika melancong. Ingin saya beritahu di sini, peralatan kamera saya tidak banyak, hanya sebuah body kamera dan dua buah lensa, iaitu lensa 24 mm dan juga 50 mm. Jad dengan peralatan yang minima tersebut saya tidak perlukan bag yang besar. Kebiasaanya saya akan travel dengan membawa dua buah beg, seperti dalam gambar di atas tu. Saya jarang bawa beg kamera, maksud saya beg yang memang dibuat untuk membawa kamera.

Saya hanya bawa sebuah backpack saiz kecil seperti dalam gambar di atas dan juga backpack saiz dalam 32 Liter atau 40+10 Liter. Biasanya backpack yang besar tu saya isikan dengan pakaian sahaja dan kadang-kadang saya masukkan tripod sekali dalam tu sebagai “check in luggage”, manakala beg yang sais kecil tersebut saya isikan dengan kamera, buku nota serta charger untuk kamera, iPhone dan juga international adapter, maksudnya beg kecil tu diisi dengan barang-barang penting termasuk pasport, dan juga saya masukkan sehelai dua baju dalam beg kecil tersebut. Beg yang kecil tu saya bawak masuk naik pesawat sebagai “hand carry”.

Bila sampai di hotel, dan saya nak keluar mengambil gambar, beg yang besar tu saya tinggalkan di dalam hotel dan hanya bawa beg kecil tersebut. Kalau boleh pilihlah beg yang ada poket tepi, boleh kita isi dengan botol air mineral atau makanan ringan untuk mengalas perut kalau kita lapar dan dahaga.

Kesimpulannya pilihlah beg ikut keperluan perjalanan kita, dan yang lebih baik lagi “Travel Light”. Maksudnya jangan bawa barang banyak-banyak, bawa yang mana perlu sahaja.

Sekali lagi ingin saya beritahu, sekiranya kita travel sebagai “Independent Traveler”, tanpa menggunakan travel agency, bergerak dari satu tempat ke satu tempat menggunakan pengangkutan awam, beg yang terbaik adalah “backpack”. Kebiasaannya independent traveler ni tidur di hotel bajet, tiada layanan seperti di hotel lima bintang, kebanyakan hotel bajet yang mempunyai empat hingga enam tingkat tiada lift dan jarang ada orang yang akan tolong kita bawa naik beg ke dalam bilik hotel kita, bayangkanlah nak usung beg tarik beroda turun naik tangga.

Diharap sedikit perkongsian saya kali ini akan dapat memberi sedikit idea kepada teman-teman pembaca blog terutamanya yang baru pertama kali ingin mencuba untuk melancong ke luar negara. Kalau ada yang masih kurang jelas, boleh tanyakan diruangan komen, insyaAllah saya cuba jawab yang mana termampu.

Adventure is Out There

*Artikel Yang Berkaitan : Fotografi Kembara Bersama Keluarga | Tips Memilih Backpack Yang Sesuai

I'm a Photographer and Travel Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.