Book,  Travel

Buku | Titik Nol | Makna Sebuah Perjalanan | Agustinus Wibowo

Titik Nol | Makna Sebuah Perjalanan | Agustinus Wibowo

© 2013 Wazari Wazir | Titik Nol | Ground Zero | Makna Sebuah Perjalanan

” Perjalanan adalah belajar melihat dunia luar, juga belajar untuk melihat ke dalam diri. Pulang memang adalah jalan yang harus dijalani semua pejalan. Dari Titik Nol kita berangkat, kepada Titik Nol kita kembali.”

– Agustinus Wibowo –

“Cermin, ya. Tak salah jika orang bilang hidup itu adalah sebilah cermin. Dunia di matamu sesungguhnya adalah cerminan dari hatimu sendiri. Caramu memandang dunia adalah caramu memandang diri. Jika dunia penuh kebencian dan musuh ada di mana-mana, sesungguhnya itu adalah produk dari hatimu yang dibalut kebencian.”

– Agustinus Wibowo –

Saya memang akui, saya seorang hantu buku. Bukan hobi baru tetapi sejak di zaman sekolah rendah lagi, masih ingat lagi waktu itu, kalau tak silap setiap hari Selasa akan ada sebuah Van Perpustakaan Bergerak DBP (Dewan Bahasa Dan Pustaka) datang ke perkarangan sekolah, memang hari yang ditunggu-tunggu, kebiasaanya masa itu saya lebih berminat dengan cerita-cerita penyiasat lima sekawan, tak ingat dah apa nama judul buku tu tetapi cerita-cerita bercorak penyiasatan memang menjadi minat saya dan kedatangan van perpustakaan bergerak DBP sangat dinantikan. Kini tak pasti sama ada perkhidmatan itu masih ada atau tidak lagi.

Bila dah bekerja ni, Alhamdulillah ada sedikit modal untuk membeli buku, pantang saja melihat buku yang menarik pasti saya beli. Saya akui bukan semua buku yang saya beli tu saya baca habis, ada yang cuma baca beberapa lembaran sahaja dah mula rasa bosan, ada juga yang masih elok berbalut dengan plastik, tak sempat nak baca lagi tetapi sibuk nak cari buku yang baharu.

Buku yang baik, walaupun dua tiga ratus muka surat boleh dihabiskan dalam masa dua tiga hari dan buku Titik Nol tulisan Agustinus Wibowo ini adalah antara buku terbaik yang saya beli sepanjang tahun 2013. Saya habis membaca buku yang setebal lebih kurang 568 halaman ini hanya dalam masa kurang lima hari.

Tidak seperti kebiasaan, buku Titik Nol ini saya beli melaui Amazon, sebabnya tiadak ada stok di Kinokuniya tempat saya selalu beli buku. Apa yang menariknya tentang Titik Nol ini? Seperti mana yang tertera di hadapan kulit buku ini, ianya ialah tentang mencari makna sebuah perjalanan. Apa yang dicari, terpulang pada diri masing-masing, ada yang sekadar jalan-jalan makan angin, menambah koleksi stamp Visa di Passport, memanmbah koleksi gambar-gambar di luar negara. Apapun yang di cari beerbeza-beza untuk setiap individu.

Buku ini mengisahkan tentang perjalanan Agustinus dari tempat kelahirannya di Indonesia, berpetualangan ke Beijing, terus ke Nepal, Masuk ke India, langsung ke Pakistan dan juga Afghanistan. Semuanya melalui jalan darat kecuali dari Jakarta ke Beijing.

Catatan perjalanan Agustinus cukup detail bagi diri saya, setiap nama tempat, nama orang yang dijumpai dan banyak lagi ditulis secara detail. Bagi mereka yang gemar mengembara, buku ini amat sesuai dijadikan rujukan. Tetapi harus juga kita ingat ini bukanlah sebuah buku panduan perjalanan, sebahagian besar kawasan yang dikunjungi Pak Agus bukanlah tempat tumpuan pelancong tetapi adalah kawasan-kasan terpencil di pinggir kota, amat jarang Pak Agus tinggal di hotel. Kebanyakan masa dia menginap di rumah orang-orang baik yang baru dikenalinya. Teman baru, tetapi bukan semua teman baiknya itu “baik” ada juga yang berniat jahat atau “nakal”.

Kita boleh belajar banyak tentang adab budaya sesuatu tempat dari tulisan-tulisan serta pengalaman Pak Agus di dalam buku ini. Penuh suspense, iaitu halangan-halangan yang perlu ditempuh oleh Pak Agus untuk menembusi garis batas sesebuah negara serta terdapat juga tips-tips menarik untuk melepasi setiap halangan itu yang mungkin  boleh kita guna pakai. Setidaknya mencuba.

Tak perlu rasanya saya ceritakan terlalu detail tentang kisah di dalam buku ini kerana ianya akan mengurangkan “suspense” anda yang akan membacanya tetapi percayalah sekiranya anda seorang backpacker, seorang yang suka mengembara melihat negara luar terutamanya buat mereka-mereka yang pernah ke Beijing, Nepal, India dan Pakistan, sudah tentu buku ini mampu untuk membuatkan kita mengukir senyum di bibir, teringatkan kisah kita sendiri di negara terbabit dan bagi mereka yang belum pernah ke negara-negara yang di lalui Pak Agus di dalam buku ini mungkin akan timbul rasa minat di hati untuk pergi ke sana, melihat sendiri betul tidaknya kisah Pak Agus ini.

Dan saya amat setuju dengan kata-kata Pak Agustinus bahawa, perjalanan ini adalah perjalanan untuk mengenal diri sendiri. Dunia ini adalah ibarat cermin. Cara kita memandang dunia adalah cara kita memandang diri sendiri, setiap apa tindakan kita terhadap dunia menunjukkan siapa kita yang sebenarnya.

Bila mana kita travel ke sana sini, kita akan jumpa, pelbagai karenah, ragam manusia, dari sana kita akan kenal diri sendiri, apakah kita ini jenis yang cerewet, jenis yang tabah menghadapi dugaan, jenis yang tak mudah berputus asa, cepat marah-marah dan sebagainya. Apapun tindakan serta fikiran kita terhadap dunia, ia hanya menyerlahkan sikap diri kita sendiri. Tak perlu rasanya kita yang hadir cuma seketika di satu-satu tempat untuk terus membandingkan buruk baiknya satu-satu tempat tersebut dengan negara kita.

Tujuan sebuah perjalanan bukanlah untuk membandingkan mana negara yang lebih baik dan mana negara yang kurang baik. Setiap perjalanan itu hanya akan menemukan diri kita sendiri. Terbit rasa syukur di hati tatkala membaca buku ini, kita di sini khususnya rakyat Malaysia tidak punya banyak masalah untuk mendapatkan passport, mungkin harganya agak tinggi untuk sesetengah orang tetapi mudah untuk didapati.

Tidak seperti rakyat tempatan di negara tertentu, walaupun mereka punya wang yang banyak namun untuk mendapatkan passport adalah amat sukar sekali malahan ada yang hampir mustahil, ataupun dinafikan hak untuk memiliki passport, maka mereka terkurung dalam negara sendiri, ibarat seekor burung yang terkurung di dalam sangkar, punya sayap tetapi tidak bisa terbang ke mana-mana.

Terpulang pada masing-masing yang membaca, tetapi bagi saya, selesai sahaja membaca buku ini, semakin menebal rasa cinta dan sayang saya kepada negara saya sendiri. Malaysia bukanlah sebuah negara yang sempurna dan tak akan mungkin pernah sempurna tetapi saya percaya Tuhan melahirkan saya ke dunia di bumi bernama Malaysia ini bukanlah terjadi secara tidak sengaja atau secara kebetulan. Ada banyak hikmahnya begitu juga mereka yang lahir di hujung dunia sana, begitu juga mereka yang lahir di atas puncak dunia.

Cukuplah setakat ini tulisan saya, kalau panjang sangat nanti, dah macam Khutbah Jumaat pula bunyinya, kepada kaki travel, dapatkan buku ini di pasaran, kalau tiada di kedai buku di Malaysia, boleh beli di Amazon atau boleh pesan saja pada rakan-rakan yang sedang atau akan travel ke Indonesia, di sana tak susah untuk dapatkan buku Titik Nol ini kerana  dikhabarkan buku ini antara yang terlaris di sana.

Semakin jauh kita berjalan, kita akan temui makna sebenar sebuah perjalanan sekiranya kita berjalan dengan fikiran terbuka…

“Empat tahun aku kuliah, apa yang ku dapat? Empat tahun penderitaan dan persaingan, apa hasilnya? Hanya selembar ijazah, hanya barisan angka. Apa artinya kertas-kertas ini? Ini bukan hidup yang sungguhan. Bukankah papa sendiri yang bilang, jadi orang itu yang penting berguna bagi sesama?

Aku mahu menulis tentang kisah hidup manusia yang sering kali dilupakan, kisah hidup di tempat terpencil, kisah tentang kemanusiaan.” 

Izinkan anakmu keliling dunia.”

– Agustinus Wibowo – (Titik Nol)

*Kepada yang belum mengenali penulisnya boleh berkunjung ke blog beliau : Agustinus Wibowo

I'm a Photographer and Travel Blogger...

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.