Adventure,  Travel

Fotografi Kembara | Istanbul Aku Datang | Spice Bazaar | Istanbul Turkey

Istanbul | Spice Bazaar | Eminönü

Istanbul | Spice Bazaar | Eminönü

Spice Bazaar | Istanbul Turkey

Travel Photography | Spice Bazaar | Istanbul Turkey

© 2012 Wazari Wazir | Spice Bazaar | Istanbul | Turkey

Antara tarikan utama di Istanbul Selain daripada Masjid Biru dan Muzium Aya Sofya ialah Grand Bazaar dan Spice Bazaar ataupun Pasar Rempah yang terletak di Eminönü, Spice Bazaar ini terletak tidak jauh dari Yeni Camii ataupun lebih dikenali dengan The New Mosque, jangan pula kita keliru dengan nama “New Mosque” ini, walaupun namanya ialah “Masjid Baru, namun usia masjid ini melebihi empat ratus tahun.

Spice Bazaar ialah bazaar kedua terbesar selepas Grand Bazaar, ianya dibina sekitar tahun 1660. Terletak di Eminönü, sekiranya anda menginap di hotel sekitar Sultanahmet, maka untuk ke Eminönü anda boleh memilih untuk berjalan kaki (lebih kurang 30 minit dari Masjid Biru) ataupun boleh menaiki tram dan turun di stesen Eminönü. Bagi jurufoto, saya cadangkan ada baiknya anda berjalan kaki sahaja dan perjalanan 30 minit itu bukanlah lama sangat dan sepanjang perjalanan itu mungkin ada banyak benda yang sesuai untuk dijadikan subjek fotografi anda.

Cukup mudah kalau kita ingin berjalan kaki ke sini, hanya ikut sahaja laluan Tram menuruni bukit dari arah Aya Sofya dan lebih kurang 20 hingga 30 minit anda akan nampak masjid besar yang menyerupai Masjid Biru sebelah kiri anda, dan di hadapan masjid itu, iaitu “Yeni Camii” (The New Mosque) terletaknya Spice Bazaar. Sekiranya kita datang dengan tram, kita perlu menyeberang jalan menggunakan terowong bawah tanah tidak jauh dari stesen Eminonu untuk ke Spice Bazaar.

Saya sebenarnya lebih berminat mengambil gambar di dalam Spice Bazaar berbanding dengan Grand Bazaar, salah satu sebabnya ialah, lokasinya tidak jauh dari Galata Bridge yang penuh dengan kaki pancing, selepas penat berjalan mundar mandir di Jambatan Galata, melihat gelagat orang di sana, bila rasa penat ataupun cuaca agak kurang baik, hujan atau agak sejuk, kita boleh masuk ke Spice Bazaar untuk membeli belah ataupun untuk mengambil gambar. Dari Spice Bazaar ke Jambatan Galata hanya perlu menyeberang jalan menggunakan terowong pejalan kaki yang disediakan, kurang seminit dua sahaja untuk ke Jambatan Galata dari Spice Bazaar.

Istanbul | Yeni Camii | Spice Bazaar | Eminonu

© 2012 Wazari Wazir | Yeni Camii (Left) | Spice Bazaar (Right) | Eminonu

Untuk gambaran yang lebih jelas, anda boleh perhatikan gambar di atas, di mana di sebelah kiri gambar ialah “The New Mosque” Yeni Camii dan sebelah kanannya pula ialah Spice Bazaar, pintu masuk utama, boleh diperhatikan juga terdapat ramai orang sedang menuruni anak tangga yang menghala kepada terowong pejalan kaki bawah tanah untuk menyeberang ke Galata Bridge.

Bercerita tentang aspek fotografi pula, tiada halangan untuk mengambil gambar di dalam Spice Bazaar, cuma keadaanya agak kelam dan untuk gambar-gambar di dalam Spice Bazaar tersebut saya menggunakan lensa prime 24mm dengan menggunakan ISO 1600. Kelajuan shutter pula tidak tetap, bergantung pada tempat saya mengambil gambar, ada yang cahanya agak terang dan ada yang  agak kelam, secara kasarnya saya menggunakan shutter speed di antara 1/125 hingga 1/320 dengan menggunakan aperture f/5 dan ISO 1600. Sekiranya anda boleh memegang kamera secara stabil tanpa goyang, mungkin boleh cuba “slow shutter speed” seperti 1/30 dan ke bawah, jadi anda boleh dapatkan kesan kabur orang sedang berjalan ataupun “sense of movement” dalam gambar anda.

Selain daripada itu, sekiranya anda menggunakan DSLR ataupun kamera compact yang agak canggih yang kita boleh ubah settingnya, ada baiknya kita jangan menggunakan flash, kerana cahaya daripada flash tersebut akan membunuh “mood” ataupun suasana keadaan di dalam bazaar tersebut. Kesan menggunakan ISO tinggi ialah gambar anda akan ada sedikit”noise” atau” grainy” tetapi jangan risau, yang penting “mood” atau suasana di dalam bazaar tersebut dapat dirakam dengan baik. Apa guna kalau kita miliki kamera yang canggih manggih tetapi takut nak gunakan ISO yang tinggi, bagi saya suatu kerugian sekiranya kita tidak menggunakan kelebihan yang ada pada kamera kita.

Spice Bazaar ini dibuka dari jam 8:30 pagi hingga 6:30 petang, oleh itu sekiranya kita ingin membeli belah ataupun merakam gambar di dalam ini, kita perlu merancang dengan baik, bagi saya ada baiknya kita datang ke sini pada hari-hari terakhir kita di Istanbul sebelum pulang ke Kuala Lumpur ataupun meneruskn ke destinasi lain, maksud saya, selain singgah mengambil gambar di sini, kita juga boleh beli buah tangan untuk orang tersayang, keluarga, saudara mara dan juga untuk jiran tetangga kita seperti “Turkish Delight”.

Spice Bazaar bukan hanya menjual rempah ratus semata, terdapat juga kedai-kedai yang menjual lampu hiasan Turki yang berwarna warni, T-shirt dan juga baran-barang kemas untuk wanita tetapi pilihannya agak terhad di sini, sekiranya kita ingin mencari cenderahati selain rempah ratus, tempat yang sesuai ialah di Grand Bazaar tetapi kalau dah jumpa benda yang berkenan dan harga yang ditawarkan agak berpatutan, beli sahaja di sini kerana keadaan di dalam Grand Bazaar jauh lebih sibuk dari sini dan kita mungkin akan rambang mata di sana, jangan lupa juga, kita boleh tawar menawar di sini untuk dapatkan harga yang baik.

Bagi saya mengembara ke negara orang bukan sahaja bertujuan untuk mengambil gambar tetapi juga untuk merasai sendiri pengalaman berada di negara orang, merasai sendiri suasana hiruk pikuk di Spice Bazaar, berinteraksi dengan peniaga dan mungkin juga kita dapat teman baru di sini. Orang kata “it’s all about to discover Sights, Sounds and Smells”. Melalui sekeping gambar pegun ataupun “still image”, kita mampu melihat, tetapi sekeping gambar pegun, tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang bau di lokasi penggambaran,  apatah lagi mengeluarkan bunyi hiruk pikuk manusia di sana (kecuali video), kita kena merasainya  sendiri dengan hadir di tempat kejadian.

Master BW eBook

I'm a Photographer and Travel Blogger...

One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.